LANGKAWI: Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) telah menyalurkan RM1.6 juta di bawah pelbagai kategori manfaat skim keahlian YGMB kepada guru-guru di seluruh negara sepanjang tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Wan Munadi Wan Mamat berkata, YGMB antaranya menerima banyak tuntutan akibat pelbagai penyakit kritikal melibatkan guru-guru berusia kurang daripada 50 tahun.
Menurutnya, selain itu manfaat yang dituntut oleh guru-guru termasuklah manfaat khairat kematian yang diberikan kepada pasangan dan anak-anak guru serta manfaat keilatan sama ada disebabkan kemalangan atau faktor lain.
“ramai ahli yang layak telah menuntut manfaat tersebut yang banyak membantu guru-guru apabila ditimpa musibah.
“Semua manfaat yang disediakan ini boleh dituntut oleh lebih 100,000 orang guru yang berdaftar sebagai ahli YGMB di seluruh negara,” katanya kepada sidang media selepas menghadiri Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pengetua Sekolah Malaysia ke 60 di Langkawi, baru-baru ini.
Wan Munadi berkata, manfaat yang disediakan oleh YGMB di bawah Skim 18, Skim 16, Skim Emas dan Skim Ahli Seumur Hidup ini dapat membantu guru-guru serta ahli keluarga mereka untuk meneruskan kehidupan apabila berlaku musibah yang tidak dijangka seperti kemalangan dan kematian disebabkan penyakit kronik.
Tambahnya, penglibatan YGMB dalam program hari ini yang dianjurkan dengan kerjasama Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM) juga memainkan peranan sebagai usaha YGMB untuk membantu peningkatan profesionalisme guru di bawah tanggungjawab sosial korporatnya (CSR).
“Pengetua sekolah diibaratkan seperti general yang memimpin sesebuah sekolah dengan tujuan untuk pelajar mencapai kecemerlangan. Penganjuran majlis seperti ini akan membantu general ini mengangkat sektor pendidikan kita ke aras yang lebih tinggi,” ujarnya.
Sementara itu, Yang Dipertua MPSM, Mohd. Ariffin Ab. Rahman berkata, perkongsian pintar di antara pengetua sekolah Malaysia dengan YGMB dapat memastikan kebajikan pengetua sekolah terjaga.
“Dengan adanya Yayasan Guru Malaysia Berhad ini dapat membantu kita untuk merealisasikan hasrat MPSM untuk menjaga kebajikan, kesihatan dan kesejahteraan ahlinya.
“Kita turut berterima kasih kepada YGMB kerana menjadi komponen penting dalam memperjuangkan aspek kebajikan dalam sistem pendidikan di negara ini,” ujarnya. – UTUSAN