KOTA KINABALU: Parti Warisan (Warisan) menampilkan kira-kira 80 peratus muka baharu di Sabah termasuk lima calon wanita pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, langkah menampilkan gabungan muka lama dan muka-muka baharu yang lebih segar itu selaras dengan hasrat Warisan dalam meremajakan parti.
Daripada 26 calon yang diumumkan di Sabah dan Labuan, calon paling muda berusia 28 tahun iaitu Chen Ket Chuin yang akan bertanding di kerusi Parlimen Tawau bagi menentang Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah, Datuk Christina Liew.
Mohd. Shafie turut mengumumkan lima calon wanita termasuk penyandang kerusi Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis dan Timbalan Wirawati Warisan, Jo-anna Sue Henley Rampas yang akan bertanding di kerusi Parlimen Tuaran.
Tiga calon wanita lain ialah Amanda Yeo Yan Yin bagi kerusi Parlimen Kota Kinabalu, Siti Noorhasmawatty Osman bagi kerusi Parlimen Pensiangan dan Rowiena Rasid bagi kerusi Parlimen Beluran.
Keempat-empat calon wanita kecuali Munirah bertanding buat kali pertama pada pilihan raya peringkat Parlimen.
Di samping itu, Warisan turut menampilkan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu ADUN Bongawan, Dr. Daud Yusof bagi calon kerusi Parlimen Kimanis dan ADUN Sekong, Alias Sani bagi kerusi Parlimen Batu Sapi.
Menurut beliau, pemilihan kedua-dua ADUN itu dibuat selepas mengambil kira keupayaan mereka untuk membawa kemenangan kepada parti di kawasan masing-masing. Malah, kedua-dua wakil rakyat itu merupakan tokoh yang berpengalaman.
Biarpun dasar parti menetapkan hanya presiden dan timbalan presiden sahaja yang boleh bertanding di peringkat negeri dan Parlimen namun, pengecualian diberikan pada kali ini setelah menyemak latar belakang kedua-dua calon berkenaan.
Penyandang kerusi Parlimen Semporna itu berkata, kesemua tujuh penyandang kerusi Parlimen sedia ada kekal pertahankan kerusi masing-masing iaitu kerusi Parlimen Semporna, Penampang, Sepanggar, Kota Belud, Papar, Kalabakan dan Labuan.
Secara keseluruhan, Warisan akan bertanding sebanyak 52 kerusi di seluruh negara termasuk 26 kerusi di Semenanjung Malaysia.
Walau bagaimanapun katanya, mungkin ada beberapa lagi tambahan calon akan bertanding atas tiket Warisan di Semenanjung Malaysia namun, ia masih belum dimuktamadkan.- UTUSAN