‘Wakil rakyat, jenguk-jenguklah orang asli di Puchong’

‘Wakil rakyat, jenguk-jenguklah orang asli di Puchong’

SYED Ibrahim Kadir (dua kanan) ketika menziarahi penduduk orang asli melihat anaknya OKU terlantar lumpuh di Kampung Orang Asli Sg Rasau Hilir Batu 14, Puchong, Selangor. -UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUCHONG: Masyarakat orang asli suku Temuan di Kampung Sungai Rasau Hilir, Batu 14 di sini mahukan seorang wakil rakyat yang sering turun padang setelah diberi mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Tok batin, Baharuddin Bakar, 44, berkata, itu merupakan ciri-ciri utama yang perlu ada pada seorang wakil rakyat dan bukannya menghilang setelah selesai pilihan raya sehingga mengabaikan keperluan rakyat di kawasan tersebut.

“Kalau dah menang tu tengok-tengok lah rakyat di kampung ini dan kalau boleh jangan lah memilih bangsa, utamakan lah mereka yang duduk di kampung,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Menurut Baharuddin, terdapat lebih 400 penduduk orang asli menetap di kampung tersebut membabitkan kira-kira 200 buah rumah dan ketika ini terdapat 15 keluarga masih belum mempunyai kediaman dan tinggal di dalam pondok.

“Antara bantuan yang sangat diperlukan di kawasan ini adalah baik pulih rumah kerana banyak rumah rosak dan bocor pada bahagian atap, mankala keadaan jalan-jalan di sini juga teruk.

“Kalau hendak ke kubur mereka perlu jalan kaki kerana jalan di situ belum diturap serta longkang sering tersumbat,” ujarnya.

Sementara itu, calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Puchong, Datuk Seri Syed Ibrahim Kader mendakwa penyandang kerusi di kawasan berkenaan tidak lagi kelihatan selepas menang dalam pilihan raya lepas.

“Penduduk di sini mengharapkan pemimpin yang turun padang tapi hanya (kelihatan) pada hari pertama untuk meminta undi sahaja.

“Mungkin kerana kawasan ini kubu kuat BN sebab itu mereka tidak turun ke sini tapi saya rasa sebagai wakil rakyat jangan lah pilih-pilih, mereka adalah pengundi di Parlimen Puchong jadi kena berkhidmat untuk semua,” katanya.

Terdahulu, Syed Ibrahim meluangkan masa menziarahi masyarakat orang asli di Kampung Sungai Rasau Hilir dan Taman Orang Asli Saujana Puchong bagi mendengar masalah yang dihadapi mereka.

Jelasnya, antara isu utama yang diutarakan adalah berkaitan pemilikan geran tanah yang sudah dimohon sejak sekian lama.

“Mereka ada masalah geran, katanya sudah bertahun lama mereka berusaha tapi sehingga kini masih belum (berjaya) dapatkan hak milik tanah tersebut,” katanya.

Syed Ibrahim yang pernah menjadi Ahli Dewan Negara selama dua penggal itu bakal berdepan saingan empat penjuru menentang Yeo Bee Yin (Pakatan Harapan), Kuan Chee Heng (Bebas) dan Chew Jyh Gang (Perikatan Nasional). 

Pada PRU14, kerusi Parlimen Puchong dimenangi Gobind Singh Deo dari DAP dengan majoriti 47,635 undi menewaskan Ang Chin Tat (BN-MCA) yang mendapat 12,794 undi dan Mohamad Rosharizan (Pas) dengan 10,255 undi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya