Wajibkan semua calon disaring SPRM

Wajibkan semua calon disaring SPRM

Bahang Pilihan Raya Umum Ke-15 semakin dirasai dan parti politik juga telah menghantar senarai calon kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tapisan bebas daripada salah laku. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Semua calon yang bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) sepatutnya diwajibkan membuat saringan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuan Malaysia (SPRM) bagi memastikan mereka benar-benar bebas daripada salah laku.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, ini kerana pengesahan SPRM itu umpama ‘cap SIRIM’ yang boleh mengangkat standard bakal calon tersebut untuk dipilih oleh parti masing-masing dan menjadi pilihan utama para pengundi semasa PRU15 kelak.

“Saya rasa elok juga agensi penguatkuasaan dalam negara menyediakan pusat untuk tujuan membuka mata masyarakat.

“Integriti dan status keselamatan calon sewajarnya diketahui oleh rakyat terutamanya para pengundi di kawasan masing-masing,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurutnya, ramai pengundi yang ‘buta’ kesahihan kelulusan akademik dan status anugerah bergelar seperti ‘Datuk’ yang boleh diperoleh secara mudah dengan sedikit bayaran.

“Atau ada juga calon secara ‘sedar’ menipu pengundi kerana tiada agensi yang boleh sahkan perkara tersebut,” jelasnya.

Sementara itu SPRM mengesahkan telah selesai melakukan saringan terhadap senarai nama calon yang dikemukakan beberapa parti politik sebelum mereka dipertimbangkan bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Mengesahkan perkara itu kepada Utusan Malaysia, Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, antara parti yang telah tampil mengemukakan nama calon iaitu Barisan Nasional (BN), MCA, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Kataya, SPRM hanya menerima senarai berkenaan untuk disaring bagi memastikan nama calon yang dikemukakan parti itu bebas daripada sebarang kes rasuah yang berjalan di mahkamah dan tidak mempunyai kes siasatan aktif dengan agensi ini.

“Kita hanya melakukan semakan sahaja tanpa mendedahkan sebarang maklumat lanjut mengenai siasatan SPRM.

“Sebaik sahaja saringan dilakukan, kita akan memberi jawapan kepada parti-parti berkenaan untuk mereka membuat pertimbangan,” katanya di sini semalam.

Sementara itu, mengulas mengenai saranan SPRM sekiranya calon yang dikemukakan kepada mereka mempunyai kes masih dalam siasatan, Azam menjelaskan, perkara itu bergantung kepada keputusan parti berkenaan.

“Tiada undang-undang yang menetapkan mana-mana calon yang mempunyai kes di mahkamah tidak boleh bertanding.

“Bagi saya, jika pihak berkenaan benar-benar telus mengemukakan nama calon untuk disaring oleh kami, mereka juga perlu telus dalam mempertimbangkan untuk tidak meletakkan mereka yang mempunyai kes di mahkamah mahupun disiasat diletakkan sebagai calon,” jelasnya.

Sementara itu, Presiden Yayasan Anti Rasuah Malaysia (YARM), Mohd. Nizam Mohd. Isa berkata, inisiatif yang dilakukan beberapa parti politik dalam mendapatkan pengesahan calon yang bertanding wajar dicontohi semua parti politik negara ini.

Malah, katanya, ia juga dapat menjadi panduan terutamanya pengundi muda untuk mempunyai satu indikator memilih calon yang bertanding iaitu mereka yang bersih dan berintegriti.

“Inisiatif ini dapat memastikan memastikan calon yang dipilih bebas daripada apa-apa isu integriti dan rakyat tidak terbeban untuk mengkaji atau mendapatkan maklumat lebih lanjut berkenaan calon,

“Tetapi sebaiknya, parti yang dapatkan pengesahan itu perlu mengisytiharkan kepada umum saringan daripada SPM, baru semua orang boleh tahu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN