fbpx

UMNO perlu bermuhasabah, akui berada dalam keadaan lemah

ALOR SETAR: Ahli UMNO harus mengakui bahawa parti itu dalam Barisan Nasional (BN) ketika ini sememangnya berada dalam keadaan lemah dan semakin ditolak rakyat.

Setiausaha Pemuda UMNO, Datuk Hasmuni Hassan berkata, kenyataan itu merupakan satu ibrah, dan pengalaman yang perlu dicari serta dibongkar susulan keputusan teruk yang dicatatkan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

HASMUNI HASSAN

Justeru katanya, ahli parti itu perlu segera bermuhasabah untuk membina dan membangunkan semula UMNO serta BN di setiap peringkat sama ada cawangan, bahagian, negeri mahupun pusat.

“Kita juga harus akur kepimpinan negara sekarang adalah keputusan daripada kebijaksanaan Yang Dipertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu. Mungkin itulah keputusan yang terbaik selepas hampir seminggu kerajaan tergantung.

“Ketiga, kepimpinan tertinggi parti juga berada dalam keadaan sukar untuk membuat keputusan demi kepentingan bersama. Walaupun lebih mudah untuk bertindak sebagai pembangkang, namun mentaati titah Seri Paduka Baginda untuk mbentuk Kerajaan Perpaduan juga satu maslahah umum yang tidak boleh diketepikan begitu saja,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Hasmuni yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Kubang Pasu dalam PRU15 berkata, fokus ketika ini perlu diberikan kepada tindakan dan strategi untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) selepas ini.

Katanya, sebarang tindakan yang diambil ketika ini akan menjadi penentu jatuh dan bangun UMNO serta BN pada masa akan datang.

“Kita juga akan berdepan dengan pemilihan UMNO. Ini masa untuk kita menentukan kembali hala tuju parti dan memilih kepimpinan baharu yang kita yakini boleh membawa transformasi dan perubahan total kepada parti.

“Semua ini ada hikmah dan pengajaran yang besar buat kita semua. Maka, marilah kita melangkah ke depan untuk meninggalkan sejarah pahit dan hitam bagi membina serta membangunkan masa depan UMNO mahupun BN yang lebih cerah,” katanya.

Hasmuni berkata, ahli UMNO boleh berbeza pendapat dan pandangan namun tindakan sedemikian tidak seharusnya sehingga memecah-belahkan lagi parti yang kini lemah.

“Sekali pun mahu berbeza pandangan, amalkan adab-ul iktilaf (adab berbeza pendapat) kerana begitulah Islam mengajar kita,” katanya.-UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN