UMNO hantar pemimpin utama bantu kawasan ‘kritikal’

UMNO hantar pemimpin utama bantu kawasan ‘kritikal’

AHMAD MASLAN (tengah) memasak apam balik ketika melakukan Tinjauan Mesra di Pasar Pagi Bandar Benut, Pontian, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: UMNO bersedia menghantar pemimpin utamanya bagi membantu jentera pilihan raya di kawasan Parlimen yang dianggap kritikal bagi membantu kemenangan calon-calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, isu kerusi kritikal bukan sahaja melibatkan BN, malah semua parti yang bertanding pada PRU15 disebabkan beberapa faktor, termasuk calon.

Misalnya, kata beliau, di Perlis, keadaan itu berlaku disebabkan penyandang kerusi Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yang tidak dicalon BN bertanding di bawah tiket Perikatan Nasional (PN).

Begitu juga dengan Datuk Zahidi Zainul Abidin yang bertanding di kerusi Padang Besar sebagai calon Bebas setelah tidak dipilih semula sebagai calon BN.

“UMNO dan BN mengakui akan cabaran kedua-dua tokoh tersebut tetapi kami percaya pengundi boleh menilai tindakan yang dilakukan mereka sehingga sanggup mengkhianati parti.

“Sekiranya mereka berjiwa besar seperti pemimpin UMNO lain yang digugurkan tentunya mereka tidak mengambil tindakan sedemikian hanya untuk kepentingan diri semata-mata,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan Tinjauan Mesra di Pasar Pagi Benut, di sini hari ini.

Muka hadapan Utusan Malaysia hari ini melaporkan terdapat 50 kerusi kritikal pada PRU15 yang memerlukan ‘orang besar’ turun bagi membantu jentera pilihan raya dan pengundi di kawasan tersebut.

Selain Kangar, Padang Besar dan Arau di Perlis, BN juga menghadapi kerusi kritikal di Parlimen Ketereh, Jempol, Maran dan Gerik apabila penyandang sebelum ini tidak dicalonkan semula.

Keadaan sama melanda beberapa kerusi yang ditandingi Pakatan Harapan (PH) seperti Parlimen Sungai Buloh, Sungai Petani,  Permatang Pauh, Lembah Pantai, Titiwangsa, Bentong dan Simpang Renggam.

Ahmad yan juga calon di Parlimen Pontian berkata, jentera pilihan raya BN di kawasan tersebut diberikan mandat dan tanggungjawab bagi memastikan kemenangan calon-calon tersebut.

“Kita tidak menolak  kemungkinan berlakunya rasa marah dan kecewa, namun sebagai anggota parti perasaan sedemikian boleh dibuang jauh-jauh bagi menghadapi cabaran besar ketika ini.

“Parti memberikan mereka peluang sebagai Ahli Parlimen bagi tempoh beberapa penggal sebelum ini, mengapa mereka mengambil tindakan berpaling tadah dengan menyertai parti lawan dan bertanding bebas,” soal Ahmad. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya