Ucapan berbaur fitnah, AMK Pulau Pinang anggap Razman ketandusan idea kempen - Utusan Malaysia

Ucapan berbaur fitnah, AMK Pulau Pinang anggap Razman ketandusan idea kempen

MUHAMMAD FADZLI ROSLAN (tengah) menunjukkan laporan polis yang dibuat terhadap Razman Zakaria di IPD Seberang Perai Tengah, Bukit Mertajam, Pulau Pinang malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang menyifatkan dakwaan berbaur fitnah oleh Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria terhadap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai isyarat atau mesej jelas Perikatan Nasional (PN) sudah ketandusan idea dan modal dalam berkempen.

Ketua AMK negeri, Muhammad Fadzli Roslan berkata, dakwaan seperti itu tidak sepatutnya dibuat ketika berkempen semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Saya yang mewakili suara anak muda mahu melihat suasana politik yang matang (ketika berkempen).

“Jika (kempen) seperti ini berterusan, saya bimbang akan menimbulkan kekacauan dan semangat yang tidak baik khususnya dalam kalangan pengundi muda,” katanya.

Terdahulu, beliau bersama hampir 20 anggota AMK Pulau Pinang membuat laporan polis berhubung dakwaan tersebut di ibu pejabat polis daerah (IPD) Seberang Perai Tengah, di sini malam tadi.

Laporan sebuah portal berita sebelum ini menyebut Razman yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gunong Semanggol mendakwa Anwar yang mengetuai Pakatan Harapan (PH) membawa budaya songsang iaitu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) serta mahu menghalalkan perkahwinan sejenis.

Menerusi portal itu, Razman yang juga calon kerusi DUN Gunung Semanggol didakwa berkata, DAP membawa agenda komunis manakala UMNO dan PH akan bekerjasama selepas PRU15.

Dalam pada itu, Muhammad Fadzli menggesa Razman disiasat di bawah Seksyen 4A Akta Kesalahan Pilihanraya serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 di bawah Seksyen 233(1)(a) dan Seksyen 233(3) akta yang sama dengan kanun keseksaan.

Ini kerana katanya, tuduhan berat dilemparkan oleh Razman itu boleh menimbulkan ketakutan dalam suasana aman dan damai rakyat hari ini.

“Kami berharap PDRM (Polis Diraja Malaysia) menjalankan siasatan secara telus, adil dan saksama terhadap pertuduhan yang berat ini,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Penerangan PKR negeri, Amir Ghazali dalam kenyataan turut menuntut Razman membuat kenyataan maaf secara terbuka dan menarik balik semua tuduhan fitnah itu atau berdepan tindakan saman.

Pada masa sama, beliau turut mengarahkan kesemua 13 cabang PKR di negeri ini membuat laporan polis sebagai pengajaran terhadap pemimpin berkenaan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.