Tujuh termasuk seorang wanita ditahan, dadah 10kg dirampas

Tujuh termasuk seorang wanita ditahan, dadah 10kg dirampas

YUSRI Hassan Basri (dua dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas di Ipoh dalam sidang akhbar di IPK Perak hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kegiatan mengedar dadah oleh sekumpulan tujuh individu termasuk seorang wanita sejak empat bulan lalu di sekitar daerah ini berakhir apabila mereka dicekup polis semalam.

Kesemua suspek berusia 26 hingga 48 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJ) Kontinjen Perak di kawasan Sunway City dekat Tambun pada pukul 1 pagi.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, serbuan pertama di hadapan sebuah rumah berjaya menahan tiga lelaki berusia 35 hingga 45 tahun.

Katanya, pemeriksaan di dalam kereta membawa penemuan 10,190 gram dadah jenis methamphetamine yang dianggarkan bernilai RM713,300.

“Susulan tangkapan itu, kita menyerbu sebuah rumah di kawasan berhampiran dan menahan tiga lelaki dan seorang wanita berusia 26 hingga 48 tahun yang dipercayai terlibat dalam kes berkenaan.

“Ujian saringan air kencing mendapati empat daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.

Menurut Mohd. Yusri, semakan rekod kesalahan lampau mendapati empat suspek juga mempunyai rekod bersabit kes dadah dan jenayah.

“Dadah yang dirampas ini disyaki diedarkan di kawasan Ipoh dan boleh digunakan oleh 20,000 penagih. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

Dalam perkembangan sama beliau berkata, polis turut menahan tiga lelaki disyaki pengedar dadah dalam tiga tangkapan di Ipoh.

Katanya, tangkapan di Kampung Rapat pada 13 November lalu membabitkan lelaki berusia 40 tahun dan rampasan dadah jenis ketamin seberat 1,009 gram bernilai RM151,350.

“Tangkapan di Buntong pada 14 November pula membabitkan seorang lelaki berusia 31 tahun di mana pihak polis merampas 2,111 gram dadah jenis ganja.

“Susulan tangkapan itu, kita telah menahan seorang lagi lelaki berusia 26 tahun di sebuah rumah di Lim Garden dan merampas 230 gram ganja” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya