Tourism Johor sertai World Travel Market London 2022

Tourism Johor sertai World Travel Market London 2022

TOURISM JOHOR mempromosikan sektor pelancongan negeri ini di pameran pelancongan antarabangsa, World Travel Market London 2022.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri komited mempromosikan pelbagai tarikan pelancongan menerusi jenama Majestic Johor dengan menyertai pameran antarabangsa, iaitu World Travel Market London 2022.

Tourism Johor dalam satu kenyataan memaklumkan, inisiatif berkenaan adalah langkah proaktif untuk mempromosikan keunikan destinasi pelancongan serta kepelbagaian seni budaya negeri ini dalam pasaran Eropah.

Pameran berkenaan berlangsung selama tiga hari bermula 7 November lalu di Excel Exhibition Centre London.

“World Travel Market yang melibatkan penyertaan lebih 100 negara dan organisasi seluruh dunia merupakan platform terbaik dalam mengenengah, mempromosi serta membuka peluang perniagaan dan pelaburan berkaitan sektor pelancongan yang ditawarkan di Johor.

“Antara fokus pelancongan yang akan diperkenalkan termasuk pelancongan pulau, produk eko pelancongan serta seni warisan dan budaya masyarakat setempat,” demikian menurut kenyataan berkenaan.

Tourism Johor memaklumkan, kerajaan negeri turut membawa beberapa agensi serta pemain industri bagi meluaskan rangkaian promosi dua hala antara penggiat pelancongan Eropah.

“Antara yang terlibat termasuk Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Johor (BPENJ), Perbadanan Taman Negara Johor, Anantara Desaru Coast Resort and Villa, Rawa Island Resort serta beberapa pengusaha produk pelancongan negeri Johor.

“Misi ini perlu dilihat sebagai inisiatif yang memberi impak agar promosi diperluas dan diperhebat secara agresif dengan memperlihatkan negeri Johor sebagai destinasi pelancongan utama dan eksklusif bagi pasaran Eropah.

“Inisiatif ini secara tidak langsung turut menjenama lagi nama Johor selaku destinasi pelancongan pilihan warga dunia,” jelas Tourism Johor.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman rasmi Facebook, Instagram dan laman sesawang Tourism Johor. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya