Tiket laris, New Boyz terharu sambutan luar biasa peminat

Tiket laris, New Boyz terharu sambutan luar biasa peminat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jualan tiket konsert New Boyz mendapat sambutan hangat dan menggalakkan sehingga menyebabkan proses tempahan secara dalam talian berdepan masalah teknikal selepas dibuka, semalam.

Terharu dengan reaksi peminat, Tomok yang juga vokalis kumpulan popular era 1990-an itu bersyukur kerana peminat masih menghargai mereka setelah lama tidak tampil bersama.

Tomok bagaimanapun, memohon maaf atas segala kesulitan yang terpaksa dilalui peminat untuk mendapatkan tiket konsert yang dijadualkan berlangsung pada 10 dan 11 Februari tahun depan.

“Trafik sangat tinggi sejak jualan tiket dibuka, pada masa sama ada masalah sehingga ramai yang tidak dapat menyelesaikan proses pembelian. Ramai yang mencuba berkali-kali dan sanggup berusaha berjam-jam untuk mendapatkan tiket.

“Saya meminta maaf kepada peminat yang menunggu lama untuk membeli tiket. Namun, jangan kecewa kerana tiket masih ada lagi,” katanya mengenai konsert yang akan berlangsung di Stage 1 Theatre, Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC).

Jelas penyanyi dan juga bintang Gegar Vaganza 9 (GV9) itu, dia tidak menyangka sambutan peminat terhadap konsert New Boyz begitu hebat.

“Difahamkan, tiket sudah terjual kira-kira 50 peratus sehingga malam tadi dan kalau tiada masalah trafik, saya rasa mungkin sudah ‘sold out’. Alhamdulillah dengan sokongan semua, sejujurnya saya tidak sangka begitu sekali respons peminat.

“Ramai juga yang memohon untuk kami mengadakan konsert di lokasi yang lebih besar. Memandangkan konsert ini menggunakan dana sendiri dan tiada penaja, jadi hasrat itu belum dapat kami penuhi.

“Hanya ini yang kami mampu, jadi kami cuba di lokasi ini dulu sebelum teruskan perancangan lain,” katanya.

Tomok turut memaklumkan, anggota New Boyz yang lain teruja selepas hampir lapan tahun tidak membuat persembahan bersama.

“Kami sepatutnya mengadakan konsert pada 2020, tetapi disebabkan pandemik COVID-19, ia tidak dapat dilakukan. Memang kami agak kecewa, tetapi bila mendapat peluang dan sokongan begini, kami sangat terharu.

“Mungkin juga momentum penyertaan saya dalam GV9 sedikit sebanyak membantu. Alhamdullilah. Melihat sokongan ini memang kami semua tidak sabar untuk beraksi.

“Doakan konsert pada Februari nanti berjalan dengan lancar, insya-Allah,” katanya.

Kata Tomok, pada konsert itu nanti, mereka akan menyampaikan semua lagu popular New Boyz untuk mengimbau kenangan zaman remaja.

New Boyz adalah antara kumpulan popular pada era 1990-an dan antara lagu hits mereka adalah Sejarah Mungkin Berulang, Meraung, Lukamu Lukaku Jua dan Khilaf.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.