ALOR SETAR: Tiga sekawan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini bagi berdepan pertuduhan melakukan rompakan secara berkumpulan menggunakan pistol mainan di sebuah stesen minyak dekat Kubang Pasu, dekat sini, kira-kira dua minggu lalu.
Ketiga-tiga tertuduh iaitu Mohd. Aliff Danish Abdullah, 24; Muhammad Iqmal Md. Yusli, 22, serta Mohd. Zamanizam Mat Hassan, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Juraidah Abbas.
Mengikut kertas pertuduhan, ketiga-tiga mereka didakwa melakukan rompakan tersebut terhadap seorang individu berusia 24 tahun dengan bersenjatakan pistol mainan di sebuah stesen minyak di Kodiang, Kubang Pasu kira-kira pukul 4.15 pagi, 12 November lalu.
Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Negeri, Nur Syifa Mohd. Hamzah mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama-sama Seksyen 397 kanun sama manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan disebat.
Terdahulu, Nur Syifa mencadangkan mahkamah menawarkan jaminan berjumlah RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.
Mohd. Aliff yang bekerja sebagai pembantu kedai telefon kemudian memohon kadar itu dikurangkan dengan jaminan tersebut dibayar bapanya yang tinggal di Sarawak, kerana mengikuti jemaah tabligh.
Dua lagi tertuduh iaitu Muhammad Iqmal dan Mohd. Zamanizam bagaimanapun hanya menyatakan bahawa tiada waris yang hadir ke mahkamah untuk menjamin mereka.
Mahkamah membenarkan ketiga-tiga tertuduh dijamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan kesemua mereka perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap 1 hari bulan hingga kes tersebut selesai.
Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 29 Disember ini.
Sebelum ini, akhbar melaporkan mengenai penahanan tiga suspek yang bertindak melarikan diri dengan menggunakan kereta Proton Satria, setelah merompak sebuah stesen minyak di Kodiang menggunakan pistol mainan.
Penahanan ketiga-tiga mereka dilakukan di sekitar Jitra dan Changlun, sehari selepas rompakan tersebut dilakukan. – UTUSAN