Tiga pemimpin UMNO bertanding tiket parti lawan, Bebas dipecat - Utusan Malaysia

Tiga pemimpin UMNO bertanding tiket parti lawan, Bebas dipecat

AHMAD Zahid Hamidi dalam sidang akhbar di kediamannya di Kampung Sungai Nipah Darat, Bagan Datuk hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Tiga pemimpin UMNO yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) dan Bebas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dipecat daripada parti berkuat kuasa serta-merta.

Mereka ialah Ketua UMNO Bahagian Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib yang masing-masing bertanding di Parlimen Arau dan Maran atas tiket Perikatan Nasional (PN).

Seorang lagi ialah Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin yang bertanding Bebas di Parlimen Padang Besar dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Titi Tinggi.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, turut menerima tindakan sama ialah pencadang dan penyokong dalam proses penamaan calon ketiga-tiga pemimpin tersebut sekiranya mereka ahli UMNO.

“Mereka yang tidak terpilih sebagai calon dan menjadi calon parti lawan, Perlembagaan UMNO dan Barisan Nasional (BN) ada hak untuk pecat mereka secara automatik, begitu juga pencadang dan penyokong (jika ahli UMNO).

“Ia adalah perkara biasa berdasarkan tata cara dalam UMNO dan BN,” katanya dalam sidang akhbar di kediamannya di Kampung Sungai Nipah Darat di sini hari ini.

Menurut Pengerusi BN itu, beliau sudah mengarahkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Ahmad Maslan mengeluarkan kenyataan akhbar mengenai perkara itu hari ini termasuk menyatakan fasal tertentu dalam perlembagaan parti yang membenarkan tindakan tersebut.

Shahidan, Ismail dan Zahidi adalah antara 10 pemimpin UMNO yang digugurkan daripada mempertahan kerusi Parlimen masing-masing pada PRU15 ini.

Menurut Ahmad Zahid, pengguguran beberapa pemimpin bukan satu kejutan tetapi perubahan biasa menukar wajah lama kepada muka baharu.

Beliau berkata, BN mahu ‘mewajahkan semula’ parti itu dengan mengemukakan muka baharu, golongan profesional serta mereka yang berpengalaman bagi menawarkan kombinasi terbaik untuk pilihan rakyat khususnya pengundi muda dan pengundi automatik yang pertama kali mengundi kali ini.

Jelas beliau, kombinasi pengalaman, kemahiran dan muka baharu bagi mewujudkan kesinambungan kepimpinan parti dan kerajaan untuk masa depan.

“Bacaan (kajian) telah dilakukan (sebelum pemilihan calon), (didapati) penerimaan calon baharu BN amat menggalakkan,” jelasr beliau.

Katanya, BN bertanding di 178 kawasan Parlimen di seluruh negara kecuali Sarawak dan berhasrat mencapai kemenangan sekurang-kurangnya 112 kerusi bagi mencapai majoriti mudah.

Beliau berkata, daripada jumlah tersebut, 120 kerusi ditandingi UMNO dan selebihnya MCA, MIC, PBRS dan parti ‘Friends of BN’ termasuk dua calon langsung iaitu di kerusi Tumpat dan Kuala Nerus. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya