Terlalu awal bincang kerjasama Pas-UMNO selepas PRU15

Masih terlalu awal bincang kerjasama Pas-UMNO selepas PRU15

ABDUL HADI AWANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Soal kerjasama Pas-UMNO seandainya tidak ada mana-mana parti politik memperolehi majoriti mudah membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) masih belum dibincangkan dalam tempoh terdekat ini.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, masih terlalu awal membincangkan soal tersebut.

“Tunggu masa, tidak boleh jawab sekarang, kita tidak tahu benda akan datang,” katanya ketika ditemui pemberita sempena jelajah bersama Presiden Pas peringkat negeri ini di Bilik Gerakan Utama Perikatan Nasional (PN) di Utan Kandis di sini malam tadi.

Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan, Pas menegaskan parti itu meletakan Pakatan Harapan (PH) sebagai musuh pada PRU15 dan bukannya UMNO.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, parti itu masih lagi kekal dengan pendirian menganggap UMNO sebagai kawan dan akan terus menyuburkan konsep penyatuan ummah.

Menurut Takiyuddin, hal ini kerana Pas dan UMNO meletakkan PH sebagai musuh utama pada PRU15 nanti.

“Kalau kawasan tertentu dimenangi oleh Barisan Nasional (BN) kita tidak ada masalah asalkan bukan kepada PH. Sebab itu kekal dengan penyatuan ummah. Penyatuan ummah ini tidak boleh bermusuh walaupun bukan kawan rapat,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai kerjasama dengan Gerakan Tanah Air (GTA) diketuai Tun Dr. Mahathir Mohamad, Abdul Hadi berkata, perkara tersebut tidak pernah dibincangkan.

“Bagaimanapun, saya tetap menyanjung Dr. Mahathir sebagai seorang negarawan dan kita tetap kenang jasanya,” kata Timbalan Pengerusi PN itu.

Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata, Baiah kekal menjadi dasar wajib Pas ke atas mana-mana calon yang akan bertanding pada PRU15.

Katanya, baiah dan bersumpah dengan nama Allah SWT itu tidak melibatkan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang berpegang kepada ‘aku janji’ bagi mengikat calon daripada khianat.

“Baiah untuk Pas sahaja, parti lain terpulang kepada kaedah masing-masing tidak terikat. Baiah yang dilaksanakan itu lebih kepada mengikat calon bertanding terhadap kesetiaan terhadap parti dan tidak khianat,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya