Terengganu kuat kuasa Skim Penstabilan Harga Minyak Masak  

Terengganu kuat kuasa Skim Penstabilan Harga Minyak Masak  

SAHARUDDIN Mohd Kia (dua, kanan) memeriksa sebahagian minyak masak di sebuah kilang pembungkusan minyak masak di Kampung Binjai, Dungun, Terengganu, hari ini. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu menguatkuasakan Skim Penstabilan Harga Minyak Masak bagi mengelak berlaku ketirisan bekalan minyak masak di negeri ini.

Pengarahnya, Saharuddin Mohd. Kia berkata, menerusi sistem tersebut, kesemua kilang pembungkusan minyak masak di negeri ini perlu mendaftar rantaian edaran mereka. 

“Sistem edaran ini dapat mengelak berlakunya ketirisan minyak masak apabila kita dapat kesan edaran yang dilakukan pihak kilang.

“Menerusi sistem ini juga, kilang tersebut juga dapat membantu peruncit mendapatkan lesen bagi membolehkan mereka mendapat bekalan yang diperlukan dan selepas ini tiada lagi minyak paket dijual dengan harga lebih mahal di kawasan pedalaman,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan kilang Bunian Oil, di Kampung Binjai, dekat sini, hari ini.

Saharuddin berkata, bekalan minyak masak yang diedarkan di seluruh negeri ini berjumlah 1.807 juta kilogram sebulan, adalah mencukupi sekiranya tidak berlaku sebarang ketirisan. 

Menurutnya, jumlah itu cukup untuk seluruh isi rumah dengan anggaran 1.15 juta penduduk di negeri ini bagi tempoh sebulan.

“Di negeri ini kita ada 14 kilang pembungkusan minyak yang mana setiap kilang akan mengeluarkan sebanyak 150,000 kilogram minyak sebulan dan setiap bulan kita hasilkan 1807 matrik tan atau 1.8 juta kilogram. 

“Jumlah bekalan ini mencukupi untuk seluruh isi rumah di negeri ini melainkan berlakunya ketirisan ketika proses jual beli atau edaran,” katanya.

Tegas Saharudin, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas kilang pembungkus yang menyalahgunakan lesen dengan membuat edaran kepada pihak tidak sepatutnya.

“Untuk tahun ini tiada tangkapan dilakukan, namun jika didapati ada kilang melanggar peraturan, tindakan tegas akan diambil dengan menarik balik kuota pengeluaran minyak masak yang diberikan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN