MACHANG: Seorang Penolong Pegawai Pejabat Tanah Jajahan Pasir Mas maut manakala isteri dan dua anaknya cedera ringan selepas kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kenderaan lain di Kilometer 26.5 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai, di sini malam tadi.
Kejadian pukul 7.48 malam itu mengakibatkan Muhammad Raimi Rajami, 35, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.
Pemangku Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintenden Mohd. Zahir Abdullah berkata, siasatan mendapati kereta yang dipandu Muhammad Raimi dari arah Kuala Krai menuju ke Kota Bharu.
Katanya, sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, sebuah kereta jenis Perodua Axia yang naiki oleh seorang lelaki dan dua wanita telah melanggar bahagian belakang sebelah kanan sebuah lori yang datang dari arah sama.
“Pelanggaran itu mengakibatkan Perodua Axia itu hilang kawalan lalu terbabas dan masuk ke laluan bertentangan sebelum melanggar kereta yang dipandu mangsa. Kesemua enam mangsa yang menaiki kereta Perodua Axia dan Subaru dibawa ke Hospital Machang untuk menerima rawatan awal,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Zahir memberitahu, kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987. – UTUSAN