Suami guru lega dapat sumbangan YGMB

Suami guru lega dapat sumbangan YGMB

WASSAL Fallah Abdul Ghani (empat dari kanan) menerima replika cek daripada Aminuddin Adam (empat dari kiri) yang turut dihadiri Wan Munadi Wan Mamat (tiga dari kiri) sempena program YGMB di PPD Kota Tinggi, Johor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Seorang suami kini terpaksa menjadi ‘ibu’ bagi lima anak selepas isterinya yang merupakan seorang guru meninggal dunia selepas tujuh bulan melahirkan bayi mereka.

Wassal Fallah Abdul Ghani, 41, berkata, Allahyarham isterinya, Maskuria Osman, 36, meninggal dunia September lalu akibat menderita kanser payudara.

Isterinya yang sebelum ini mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Sepinang, Segamat disahkan menghidap penyakit itu ketika sedang mengandung anak bongsu mereka.

“Masa dapat kesan penyakit itu, isteri sudah trimester kedua mengandung. Bulan 11 tahun lalu doktor sahkan isteri menghidap kanser tahap empat dan penyakitnya sudah merebak ke tulang.

“Ketika itu isteri sempat jalani kimoterapi sebanyak empat kali yang sepatutnya perlu jalani enam kali. Namun, rawatan kelima terhenti sekejap kerana isteri melahirkan anak.

“Ekoran tempoh yang lama terhenti daripada menjalani rawatan kimoterapi, ketumbuhan yang pada awalnya sudah surut membesar kembali menyebabkan keadaan isteri semakin tidak stabil sebelum meninggal dunia,” katanya selepas menerima sumbangan daripada Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Tinggi, hari ini.

Terdahulu, Wassal Fallah sebagai waris Allahyarham Maskuria yang merupakan ahli YGMB menerima sumbangan sebanyak RM8,000 yang diserahkan Pengerusi YGMB, Aminuddin Adam.

Wassal Fallah amat bersyukur menerima sumbangan tersebut kerana kini masih belum memulakan kerja.

Dia yang bekerja sebagai jurujual kini menetap bersama-sama ibunya di kampung dan dibantu adik beradik dalam menguruskan anak-anaknya terutamanya yang bayi.

“Alhamdulillah perasaan lega dapat sumbangan ini, dapatlah gunakan untuk anak bersekolah. Anak-anak berusia 14, 12, lapan dan empat tahun. Sebelum ini isteri kerja pagi, saya kerja pada waktu petang. Jadi, kami bergilir menjaga anak dan tidak hantar ke rumah pengasuh,” katanya.

Sumbangan sama turut diserahkan kepada waris Allahyarham Linda Minhat, guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Habab Kota Tinggi yang juga meninggal dunia akibat kanser payudara Jun lalu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat berkata, pihaknya menerima banyak tuntutan akibat pelbagai penyakit kritikal melibatkan guru-guru berusia kurang daripada 50 tahun.

“Manfaat yang disediakan oleh YGMB di bawah Skim 18, Skim 16, Skim Emas dan Skim Ahli Seumur Hidup ini dapat membantu guru-guru serta ahli keluarga mereka untuk meneruskan kehidupan apabila berlaku musibah yang tidak dijangka seperti kemalangan dan kematian disebabkan penyakit kronik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN