PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan terhadap perisytiharan harta Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli selepas suruhanjaya itu mendapati wujud asas untuk berbuat demikian.
Satu sumber mendedahkan kepada Utusan Malaysia, siasatan itu dilakukan selepas aduan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dibuat kelmarin wajar diteliti lebih lanjut.
“Peringkat awal ini, maklumat yang diterima diteliti,” kata sumber itu ringkas.
Terdahulu, satu laporan dibuat Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara Malaysia (PJPNM) kepada SPRM berhubung pengisytiharan harta oleh Rafizi yang didakwa mengelirukan.
Sebelum ini, Rafizi tampil mengisytiharkan hartanya dengan nilai aset bersih sebanyak RM18.85 juta yang mana sebahagian besar daripadanya diperoleh menerusi Invoke Sdn. Bhd. (Invoke).
Dalam pada itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pihaknya meletakkan kepercayaan kepada SPRM untuk menyiasat isu butiran aset calon Parlimen Pandan tersebut, namun akan bekerjasama jika diperlukan.
Beliau berkata, lazimnya mana-mana agensi dalam kerajaan akan bekerjasama bagi sebarang penyiasatan.
“Kalau satu agensi ambil tindakan, maka biar satu agensi dahulu yang ambil tindakan.
“Kalau sudah banyak sangat masuk (siasat) nanti jadi ‘rojak’. Biarlah satu dahulu. Bila diperlukan baru kita ambil tindakan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Putrajaya.
Dalam perkembangan lain, Hamzah berkata, setakat 10 November lalu, sebanyak 92 kes dilaporkan di seluruh negara berkaitan kesalahan Akta Kesalahan Pilihan Raya. – UTUSAN










