Siti Bainun diperintah bela diri terhadap tuduhan abai, aniaya Bella

Siti Bainun diperintah bela diri terhadap tuduhan abai, aniaya Bella

SITI Bainun Ahd Razali hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi keputusan kes mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down, Bella. UTUSAN/MOHD. FIRDAUS MOHD. JOHARI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini sebentar tadi memutuskan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali dipanggil membela diri terhadap pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down, Bella.

Hakim Izralizam Sanusi memutuskan demikian selepas berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie bagi kedua-dua pertuduhan terhadap Siti Bainun.

Mahkamah berpendapat, pihak pendakwaan berjaya membuktikan elemen yang terkandung dalam pertuduhan yang menyebabkan Bella mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Hakim berkenaan menerima keterangan saksi-saksi pendakwaan termasuk doktor pakar yang memeriksa dan merawat Bella bahawa kecederaan kanak-kanak itu bukan akibat perbuatan sendiri.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad, Zilfinaz Abbas, Zahida Zakaria, Fazeedah Faik dan Shakira Aliana Alias manakala peguam Nur’Aminahtul Mardiah Md Nor, Mohammad Farhan Maaruf, Nurul Hafidzah Hassan, Asiah Abd Jalil dan Nur Ellena Mohamed Razif mewakili Siti Bainun.

Turut hadir Datuk Khairul Anwar Rahmat, Datuk Ikbal Salam dan Mohd Radzi Yatiman yang dilantik oleh Pemangku Raja Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim selaku peguam pemerhati.

Siti Bainun, 31, dibicarakan selepas mengaku tidak bersalah mengabai dan menganiaya remaja perempuan berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di antara Februari dan Jun 2021 di Kondo Irama Wangsa, Wangsa Maju di sini.

Dia dituduh mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pihak pendakwaan menutup kes pada 28 Oktober lalu selepas memanggil 22 saksi memberi keterangan.

Perbicaraan kes itu bermula 30 Mac lalu dan antara saksi pendakwaan yang dipanggil memberi keterangan termasuk pakar psikiatri Dr. Wan Asyikin Wan Azlan, pembantu pengurus syarikat swasta Zurianty Sudin, pakar bedah plastik, Dr. Salmi Mohamed Shukur.

Bella turut dipanggil memberi keterangan namun keterangan remaja perempuan itu dijalankan secara tertudup selama dua hari.

Bekas penghuni Rumah Bonda, Yasmin Nahar Mahmood, 19, yang merupakan saksi pendakwaan kelima antara keterangannya menyatakan Bella pernah dipaksa makan lebih kurang 1,280 biji cili seminggu, makan seperiuk nasi bercampur cuka, cili, kunyit, kepingan cili, kicap manis, kicap masin dan garam.

Bella juga pernah dipaksa makan lima ketul paha ayam yang sudah busuk. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya