[SIDANG DUN] Rakyat Kelantan 'liat' bayar bil air, cecah RM28.5 juta - Utusan Malaysia

[SIDANG DUN] Rakyat Kelantan ‘liat’ bayar bil air, cecah RM28.5 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Syarikat Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) merekodkan sebanyak RM28.5 juta tunggakan bayaran bil air apabila kebanyakan penduduk di negeri ini dilihat masih ‘liat’ untuk membayar utiliti tersebut sehingga 30 September lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti negeri, Datuk Azami Mohd. Nor berkata, tunggakan paling tinggi melibatkan pengguna domestik iaitu sebanyak RM18.4 juta.

Katanya, selain itu, kutipan atau bayaran yang perlahan daripada pengguna ketika ini disebabkan mereka masih berada dalam peringkat pemulihan pasca Covid-19.

“Tunggakan bil pengguna aktif AKSB adalah RM28.5 juta sehingga 30 September lalu. Jumlah itu berkurangan berbanding 31 Disember tahun lalu yang mencatatkan sebanyak RM33.2 juta bil air tertunggak,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Mohd. Adhan Kechik (BN-Bukit Bunga) yang ingin mengetahui jumlah tunggakan bil pengguna AKSB dan penyebab kepada tunggakan tersebut berlaku.

Azami memberitahu, bagi meningkatkan hasil kutipan, AKSB menjalankan aktiviti penguatkuasaan kutipan secara berterusan di setiap daerah terutamanya yang tiada masalah bekalan air bersih pada tahun ini.

Katanya, AKSB juga menyediakan pelbagai medium bayaran kepada pengguna termasuk melalui bank dan ejen kutipan.

Menjawab soalan tambahan Hilmi Abdullah (Pas-Guchil) yang menyentuh soal sama ada kerajaan mahu memberi bekalan air percuma kepada asnaf di Kelantan, Azami berkata, pihaknya sentiasa membantu penduduk yang memerlukan.

“Kita telah menyediakan 30 lori khas untuk mengagihkan bekalan air percuma kepada asnaf di semua kawasan sejak April 2020 hingga Julai tahun ini.

“Kos bagi kerja-kerja itu berjumlah RM11.5 juta dan ia merupakan salah satu daripada tanggungjawab sosial kerajaan negeri kepada rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya