PETALING JAYA: Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook mengarahkan semua peringkat pimpinan parti dan ahli-ahli akar umbi supaya tidak menganjurkan sebarang bentuk sambutan mahupun acara konvoi kenderaan.
Katanya, arahan itu dikeluarkan bagi menghormati semua pihak dalam pembentukan Kerajaan Persekutuan.
“Kami menyeru semua pihak bertenang dan menghormati keputusan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, kerajaan yang bakal ditubuhkan adalah sebuah kerajaan perpaduan yang merangkumi pelbagai gabungan parti politik.
“Kita perlu bekerjasama dan bersatu padu dalam membantu Perdana Menteri mengemudi negara keluar daripada kemelut yang dihadapi,” katanya. – UTUSAN