Selepas gambar tular, Ka Siong nafi MP BN dan wakil PH bertemu

Selepas gambar tular, Ka Siong nafi MP BN dan wakil PH bertemu

WEE KA SIONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong mendakwa, tiada sebarang perjumpaan antara Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan wakil Pakatan Harapan (PH) di sebuah hotel di ibu negara, hari ini.

Ahli Parlimen Ayer Hitam itu berkata, ini kerana beliau hanya menghadiri perjumpaan bersama Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Saya terkilan apabila sebaik sahaja tiba di hotel, pemimpin-pemimpin PH turut hadir dalam perjumpaan ini. Saya tidak tahu sama ada ia telah pun diatur terlebih awal atau pun satu kebetulan.

“Perlu ditegaskan tiada sebarang perjumpaan antara Ahli Parlimen BN dan wakil PH berlangsung ketika saya berada di hotel dari pukul 10 pagi hingga 12 tengah hari. Apa yang pasti, saya hanya menghadiri perjumpaan bersama Pengerusi BN dengan semua Ahli Parlimen BN.

“Selepas perjumpaan dan sidang akhbar bersurai, saya tidak terlibat dalam mana-mana perbincangan, pertemuan sama ada kebetulan atau tidak dengan pemimpin-pemimpin PH. 

Apa jua keputusan yang dibuat oleh BN perlu mendapat persetujuan dan mandat daripada Dewan Tertinggi BN,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini. 

Terdahulu, tular gambar memaparkan Ahli Parlimen BN bersalaman dan duduk berbincang dengan pemimpin PH dipercayai mempunyai kaitan dengan pembentukan kerajaan. 

Gambar itu dipercayai dirakam di sebuah hotel di ibu negara, hari ini, yang merupakan lokasi BN mengadakan sidang akhbar berhubung kemelut politik selepas pilihan raya umum.

Antara pemimpin yang kelihatan adalah Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah, Mohamad Sabu, Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. 

Pemimpin BN pula terdiri daripada Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.