Seksa nak dapat RM10 sehari

Seksa nak dapat RM10 sehari

MOHD. Rozi Mohd. Sood terpaksa menunggu tengah hari atau cuaca panas untuk menoreh getah ekoran cuaca tidak menentu di Kampung Bukit Rang di Jerantut, Pahang . - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: “Cukup seksa hendak dapat RM10 sehari, nak beli beras dan keperluan dapur. Sejak awal bulan ini cuma tujuh hari dapat menoreh getah.”

Demikian keluhan seorang warga emas, Mohd. Rozi Mohd. Sood, 64, dari Kampung Bukit Rang di sini, berhubung kesukarannya mencari rezeki sebagai penoreh getah ekoran cuaca tidak menentu ketika ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mohd. Rozi berkata, cuaca yang kerap kali hujan menyebabkan pokok getah basah dan dia cuma berpeluang menoreh menjelang tengah hari apabila cuaca panas semata-mata untuk mendapatkan wang.

“Bulan ini ketika cuaca panas sedikit dapatlah kutip kira-kira 50 kilogram getah beku (dalam pot) dan dijual cuma dapat RM110.

“Seksa sungguh hendak dapatkan wang lebih sedikit kerana harga getah masih di paras antara RM2.20 hingga RM2.50. Macam mana kami hendak berbelanja keperluan dapur, membayar bil dan membeli ubat,” katanya di sini semalam.

Mohd. Rozi berharap kerajaan baharu selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dapat menaikkan harga lantai komoditi itu melebihi RM3.50 sekilogram supaya penoreh mendapat lebih pendapatan.

Rakannya, Safri Mahmud, 56, pula berkata, dia mula mencari pekerjaan lain untuk mendapatkan wang perbelanjaan dapur kerana pokok getah tidak boleh ditoreh sejak awal bulan ini.

Katanya, kira-kira 60 penduduk Bukit Rang dan kampung berdekatan termasuk warga emas yang bekerja sebagai penoreh hilang pendapatan apabila Monsun Timur Laut mula melanda menyebabkan hujan lebat dan tidak dapat keluar menoreh.

“Saya yang menoreh getah milik orang lain juga berdepan pendapatan yang tidak mencukupi kerana hasil jualan dibahagi dua dengan pemilik kebun.

“Keadaan cuaca yang tidak menentu memungkinkan kami tidak dapat menoreh selama lebih dua bulan kerana musim pejur dijangka bermula bulan ini,” katanya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Biro Kebajikan, Pertubuhan Pekebun Kecil Pahang, Anuar Mustakim, 58, berkata, kira-kira 5,000 pekebun kecil dan penoreh getah negeri ini berharap kerajaan dapat memenuhi tuntutan mereka menaikkan harga komoditi itu antara RM3 hingga RM4.

“Hari ini, kita lihat penoreh getah antara yang terkesan akibat kejatuhan harga getah di tambah pula keadaan cuaca yang tidak menentu sejak daripada awal tahun ini sehinggalah mula berdepan Monsun Timur Laut.

“Purata mereka bekerja menoreh antara 10 hingga 12 hari dalam sebulan dan memperoleh antara 200 hingga 300 kilogram sahaja. Ini langsung tidak mencukupi untuk berbelanja lebi-lebih lagi bagi penoreh yang bekerja di kebun getah milik orang lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya