Sejuta terkesan gangguan LRT laluan Kelana Jaya

Sejuta terkesan gangguan LRT laluan Kelana Jaya

PARA penumpang menunggu bas di stesen bas pengantara untuk ke pusat bandar Kuala Lumpur ekoran perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya yang dihentikan sementara bermula semalam hingga 15 November ini. – UTUSAN/ MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hampir sejuta pengguna dijangka terkesan selepas transit aliran ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya berdepan gangguan perkhidmatan yang mengakibatkan penutupan 16 stesen bermula dari stesen LRT Kelana Jaya sehingga stesen Ampang Park.

Meskipun perkhidmatan LRT­ laluan Kelana Jaya lebih popular dengan 350,000 penumpang sehari, orang ramai di kawasan sekitar terutamanya ibu negara diramal turut terkesan teruk apabila 16 stesen itu tidak beroperasi seperti biasa selama beberapa hari sehingga Selasa ini.

Keadaan bakal lebih buruk kerana penutupan stesen itu menyaksikan kesesakan ali­ran trafik luar biasa di Lembah Klang terutamanya hampir semua laluan masuk ke ibu negara pagi semalam sesak kerana orang ramai terpaksa memandu kereta ke tempat kerja.

Malah, orang ramai menerusi media sosial meluahkan kekesalan dengan masalah LRT yang kerap mengganggu perjalanan mereka untuk menyelesaikan urusan harian.

Dalam pada itu, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) memohon maaf kepada pengguna yang terjejas dan mengkaji pemberian pampasan dan bayaran balik terutamanya kepada penumpang yang membeli pas My50 bulanan.

Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana, Mohd. Azharuddin Mat Sah berkata, beberapa stesen LRT laluan Kelana Jaya itu ditutup bagi mencari penyelesaian penuh kepada masalah sistem kawalan automatik (ATC) yang tidak stabil.

Katanya, siasatan awal mendapati terdapat gangguan pada komponen ATC yang menga­kibatkan kehilangan isyarat an­tara pusat kawalan dengan tren dan menyebabkan tren tidak dapat beroperasi secara automatik.

“Ini adalah masalah serius yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Kami masih menyiasat punca sebenar gangguan ini.

“Pihak Rapid Rail dibantu oleh pasukan khas pihak pengilang asal OEM dari Toronto, Kanada akan mencari penyelesaian jangka panjang dan pendek merangkumi ujian ke atas peranti dan perisian sedia ada,” katanya pada sidang akhbar secara dalam talian, semalam.

Seorang lelaki mengambil gambar notis perkhidmatan tergendala LRT laluan Kelana Jaya bermula semalam hingga 15 November ini di hadapan pintu masuk stesen di Stesen LRT Kelana Jaya, semalam. Gambar; MUHAMAD IQBAL ROSLI/PIX ONLY

Gangguan perkhidmatan LRT itu melibatkan stesen Kelana Jaya, Taman Bahagia, Taman Paramount, Asia Jaya, Taman Jaya, Universiti, Kerinchi, Abdullah Hukum dan Bangsar.

Stesen KL Sentral, Pasar Seni Masjid Jamek, Dang Wangi, Kampung Baru, KLCC, dan Ampang Park.

Menurut pengendali tren LRT, Rapid Rail Sdn. Bhd., perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya akan beroperasi hanya dari Stesen LRT Gombak ke Stesen LRT Damai serta dari Stesen LRT Lembah Subang ke Stesen LRT Putra Heights.

“Semua perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya akan menamatkan operasi pukul 11 malam bagi memberi lebih masa kepada pasukan kejuruteraan untuk melaksanakan kerja-kerja rektifikasi dan baik pulih.

“Perkhidmatan bas perantara percuma akan disediakan bagi penumpang dan mengurangkan kesesakan di stesen-stesen yang terjejas.

“Segala kesulitan ekoran kejadian adalah amat dikesali. Untuk perkembangan status perkhid­matan terkini serta maklumat lanjut mengenai perkhidmatan bas perantara, sila rujuk kepada saluran media sosial Rapid KL dan juga aplikasi PULSE,” katanya.

Sementara itu, seorang pekerja syarikat perisian yang hanya mahu dikenali sebagai Koo, 36, berkata, dia dari Taman Tun dan ingin berjumpa pelanggan di KLCC, tapi stesen LRT laluan Kelana Jaya ditutup.

“Saya sudah tunggu bas perantara lebih 30 minit, sebab sudah lambat jumpa pelanggan di KLCC.

“Saya pun tak pasti sama ada bas itu ada, tapi tidak sepatutnya lambat sangat,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur Sentral.

Pada masa sama, pengguna di Stesen LRT Pasar Seni, Tajul Arif, 64, pula berkata, penutupan LRT laluan Kelana Jaya tanpa sebarang notis awal sa­ngat menyusahkan pengguna termasuklah dia sendiri.

“Saya ulang-alik ke tempat kerja di Kelana Square dari Suba­ng, sudah 45 minit saya tunggu bas perantara untuk gerak tapi tak gerak-gerak, semalam pun sama.

“Bas perantara ada, tapi pemandunya cakap belum dapat arahan untuk jalan, jadi kena tunggulah,” katanya.

Sementara itu, seorang pelajar Brickfield Asia College (BAC), Adam Arif, 20, pula tersekat di stesen LRT Asia Jaya kerana tidak mendapat maklumat awal tentang penutupan LRT laluan Kelana Jaya.

“Saya mahu balik dari kolej tapi baru tahu LRT tutup bila sampai sini.

“Tadi pun, ada kawan yang datang lambat ke kelas sebab LRT tutup,” katanya ketika ditemui di Stesen LRT Asia Jaya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.