Sanusi saran Pejuang sertai Pas atau Bersatu

Sanusi saran Pejuang sertai Pas atau Bersatu

MUHAMMAD Sanusi Md. Nor (tengah) bersama sebahagian calon PN Kedah yang menang di kerusi Parlimen masing-masing sempena Majlis Kesyukuran PN Kedah di Kompleks Pas Kedah, Alor Setar, malam tadi -UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Susulan kekalahan teruk dialami dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) disarankan menyertai mana-mana parti Melayu lain, termasuk Pas atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang komited dalam membentuk perpaduan ummah ketika ini.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, Pejuang perlu memikirkan langkah tersebut kerana orang Melayu sudah tidak mahu lagi melihat perpecahan dalam kalangan kaum itu.

Kata Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat dan Menteri Besar itu, ketika ini terlalu banyak parti Melayu yang berpecah-belah sehingga pecahan terakhir tersebut tidak lagi mampu mendapat sokongan daripada kaum berkenaan.

“Tak sesuailah berpecah banyak sangat kerana orang Melayu dah tak mampu berpecah lagi. Saya rasa Pejuang patut memikirkan untuk menyertai mana-mana Parti Melayu yang ada. Masuklah Pas atau Bersatu. Perkara itu sepatutnya boleh dilaksanakan kerana Pejuang pun dahulu asalnya daripada Bersatu tetapi terpecah akibat perkelahian dalaman.

“Baliklah kepada asal dan perkara itu bukan mustahil kerana Semangat 46 dulu pun boleh kembali kepada UMNO. Rakyat kini mahukan sesuatu yang stabil serta bersih dan Alhamdulillah, negara ini sedang menuju ke arah yang betul,” katanya pada sidang akhbar Majlis Kesyukuran PN Kedah malam tadi.

Dalam PRU15 yang berakhir Sabtu lalu, kesemua calon Gerakan Tanah Air (GTA) yang bertanding atas tiket Pejuang tewas di kawasan masing-masing.

Selain itu, Pengerusi Pejuang, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir gagal mempertahankan kerusi masing-masing di Langkawi serta Jerlun dengan kedua-duanya kehilangan deposit apabila memperolehi jumlah undi sangat rendah.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Sanusi berkata, beliau sehingga kini masih belum menerima sebarang surat tuntutan (LOD) daripada mana-mana pihak termasuk Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan hasrat untuk menyamannya sebelum ini.

“LOD itu dihantar kepada media dan bukan kepada saya. Apabila LOD tersebut dihantar kepada media, kita fahamlah bahawa mereka nak bina persepsi seolah-olah kenyataan saya itu tidak benar dan akan mencabar kenyataan tersebut di mahkamah.

“Tetapi hakikatnya mereka tak hantar kepada saya. Saya takkan minta maaf kepada Anwar kerana apa yang saya ucapkan adalah perkara betul kerana saya hanya ulas mengenai perkara yang diputuskan oleh mahkamah terhadapnya sebelum ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya