PERSAINGAN merebut lapan kerusi Parlimen di Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ketika ini tidak boleh dinafikan lebih menjurus kepada pertembungan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
Dijangkakan, kedua-dua parti itu kekal dengan ‘status quo’ mereka di kerusi-kerusi yang telah dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
PH pada pilihan raya umum lalu menang di kerusi Seremban, Rasah, Port Dickson, Kuala Pilah dan Tampin manakala BN di Rembau, Jelebu dan Jempol. Bagaimanapun kerusi Kuala Pilah beralih ke Perikatan Nasional (PN) selepas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) keluar dari PH.
Jadi sekiranya ada perubahan dan peluang seimbang di antara BN dan PH, ia tentunya melibatkan kerusi Kuala Pilah dan juga kerusi Tampin. Ia mengambil kira kedua-dua kerusi tersebut yang disifatkan sebagai kubu kuat BN namun hanya tumpas dengan majoriti tipis pada PRU14 kepada PH.
Sukar untuk melihat peluang menang bagi penyandang kerusi Kuala Pilah yang juga Pengerusi PN Negeri Sembilan, Datuk Eddin Syazlee Shith di kerusi berkenaan ketika BN dan PH mempertaruh calon terbaik bagi merampas semula kerusi itu. Mungkin boleh memberi kelebihan, Eddin Syazlee berbanding calon lain adalah khidmat sepanjang lebih empat tahun yang telah beliau berikan kepada penduduk Kuala Pilah.
Di kerusi itu, BN tampil menerusi Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hassan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senaling manakala PH menghantar anak jati Johol yang merupakan Ketua Penerangan PKR Negeri Sembilan, Nor Azman Mohamad.
Di Tampin pula, PH pasti akan cuba sebaiknya mempertahan kerusi yang telah dimenangi mereka dengan majoriti 1,002 undi sebelum ini manakala BN juga tidak mahu diam bagi menebus semula kekalahan di kubu mereka itu.
Kedua-dua parti ini tampil dengan muka baharu dengan PH menerusi ADUN Permatang Pasir, Pulau Pinang, Muhammad Faiz Fadzil dan BN pula meletakkan Ketua UMNO Bahagian Tampin yang juga ADUN Gemencheh, Datuk Mohd. Isam Mohd. Isa.
Nama-nama besar yang berada di Negeri Sembilan pula, iaitu Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan (Rembau), Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun (Port Dickson) dan Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook (Seremban) dijangka mempunyai peluang lebih besar di kerusi yang ditandingi walaupun masing-masing bakal berdepan saingan lima penjuru.
Ketika Siew Fook menyatakan keazaman untuk PH menang di kesemua lapan kerusi itu, Mohamad lebih optimis untuk BN mendapat lima kerusi di Negeri Sembilan bagi dibawa ke Putrajaya untuk membentuk Kerajaan Pusat.
“Kerusi itu ialah Rembau, Jelebu, Jempol, Kuala Pilah dan Tampin nampak okay, sebelum ini kami letakkan 4+1, tetapi nampaknya Tampin sudah settle down sedikit tetapi kerusi ini perlu kerja kuat lagi dan mungkin boleh tambah lagi satu iaitu yang mempunyai peluang 50-50 untuk menang iaitu kerusi Port Dickson,” kata Mohamad kepada pemberita baru-baru ini.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Sains Politik, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Ariff Aizuddin Azlan berkata, beliau melihat kerusi Kuala Pilah lebih memihak kepada BN manakala PH mempunyai lebih peluang di Tampin.
“Di Port Dickson pula, ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di situ pada Oktober 2018, beliau menang dengan majoriti yang agak besar, sebenarnya ia bukan hanya bergantung kepada faktor calon tetapi PKR mempunyai kekuatan akar umbi di Port Dickson.
“Apatah lagi kali ini, PH menampilkan Aminuddin yang merupakan Menteri Besar Negeri Sembilan, ia bukanlah tugas sukar buat mereka,” katanya.
Sementara itu katanya, setakat lima hari kempen PRU15 berlangsung, momentum PH dilihat lebih menonjol berbanding parti-parti lain di Negeri Sembilan.
“Ia berdasarkan gerak kerja dan strategi kempen mereka yang konsisten terutamanya di Seremban, Rasah, Port Dickson malah juga bagi kerusi Tampin. Setakat ini yang boleh nampak dari segi mobilisasi kempen, mereka konsisten khususnya di kawasan yang mereka telah kenal pasti boleh meraih sambutan, mereka akan fokus di situ.
“BN pula, sukar untuk mencari strategi kempen mereka atau fokus kawasan mereka, BN dilihat kerap pergi secara mengejut ke akar umbi dan berjumpa orang ramai seperti di kedai-kedai dan pasar.
“Parti-parti selain BN dan PH iaitu PN dan Gerakan Tanah Air (GTA) memang agak suram kempen mereka, hanya memacak dan meletakkan bendera parti masing-masing namun dari segi penyampaian dan pergerakan mereka sukar untuk dicari termasuk di media sosial,” katanya. – UTUSAN
JUMLAH KERUSI: 8
JUMLAH PENGUNDI: 850,865
JANGKAAN KERUSI DIMENANGI
BARISAN NASIONAL: 4
PAKATAN HARAPAN: 3
SENGIT: 1
PARLIMEN NEGERI SEMBILAN
P.126 JELEBU: BARISAN NASIONAL
P.127 JEMPOL: BARISAN NASIONAL
P.128 SEREMBAN: PAKATAN HARAPAN
P.129 KUALA PILAH: BARISAN NASIONAL
P.130 RASAH: PAKATAN HARAPAN
P.131 REMBAU: BARISAN NASIONAL
P.132 PORT DICKSON: PAKATAN HARAPAN
P.133 TAMPIN: SENGIT (KELABU)










