PETALING JAYA: Remaja perempuan berusia 16 tahun dipercayai hilang selepas keluar dari rumahnya di Jalan PJU 10/13b, Saujana Damansara, Damansara Damai di sini, Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakrudin Abdul Hamid berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya menerima laporan berhubung kehilangan mangsa, Ng Siew Ting pada pukul 7.50 malam, Rabu lalu.
Menurutnya, dia didapati hilang selepas keluar dari rumahnya pada pukul 7 pagi.
“Anggaran ketinggian lebih kurang 165 sentimeter (cm), berbadan kurus, berkulit kuning langsat dan berambut hitam pendek paras bahu.
“Pakaian terakhir dipakai sebelum hilang adalah baju-T lengan pendek berwarna putih, seluar pendek hitam, berselipar dan membawa beg galas biru atau ungu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan mangsa mohon tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan pegawai penyiasat jenayah, Inspektor Amir Hakimi Zakaria di talian 012-3783178 bagi membantu siasatan.- UTUSAN