Ramanan dakwa SPR biar pengundi menunggu lama - Utusan Malaysia

Ramanan dakwa SPR biar pengundi menunggu lama

R. RAMANAN berswafoto dengan pengundi di SMK Seksyen 8, Kota Damansara. - UTUSAN/MOHAMAD HAFIZI MOHD SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI BULOH: Calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Sungai Buloh, Datuk R. Ramanan mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membiarkan pengundi di Kota Damansara menunggu berjam-jam untuk mengundi.

Menurut Ramanan, kejadian itu berlaku di saluran empat dan lima di dua pusat mengundi iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 8 dan Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 6, Kota Damansara.

Jelasnya, beliau menerima rungutan daripada pengundi mengenai masalah tersebut dan segera ke lokasi bagi meninjau suasana dan ternyata ia benar.

“SPR sengaja, saya ulang, SPR sengaja bagi pengundi tunggu tiga jam, empat jam, lima jam untuk mengundi.

“Kenapa buat kerja begini? Tidak bagi air minum kepada pengundi, tidak bagi kerusi, adakah ini adil? Apa agenda SPR buat begini, tidak berperikemanusian begini, SPR perlu adil untuk pengundi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau suasana mengundi di SMK Seksyen 8, Kota Damansara, di sini hari ini.

Ramanan berkata, terdapat 8,300 pengundi yang mengundi di SMK Seksyen 8, Kota Damansara dan sekiranya proses berkenaan memakan masa lama sudah pasti ada pengundi yang akan pulang dan tidak mengundi.

“Ada 8,300 pengundi di sini macam mana nak habis mengundi kalau proses lambat? Ini salah,” katanya.

Sementara itu, seorang pengundi yang ingin dikenali sebagai Tan berkata, beliau terpaksa menunggu lebih tiga jam sebelum namanya dipanggil ketika mengundi di saluran 5, SMK Seksyen 8, Kota Damansara.

“Saya terpaksa beratur dan berdiri lebih tiga jam sebelum dipanggil dan prosesnya amat lambat sehingga ada beberapa orang pulang,” katanya.

Seorang lagi pengundi muda, Syafiqah, 21, berkata, dia dan ibunya tiba di pusat mengundi pada pukul 11.30 pagi dan selesai mengundi pada pukul 12.30 tengah hari.

Bagaimanapun menurut Syafiqah, ibunya masih belum selesai mengundi meskipun sudah memasuki pukul 2.30 petang.

“Lama sangat, saya kasihan dengan emak sebab dia  berusia, kemudian kena berdiri lama dan berpanas, saya pun tidak tahu kenapa lambat sangat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.