PRU15: Richie mulakan pecutan akhir kempen di Bukit Bendera - Utusan Malaysia

PRU15: Richie mulakan pecutan akhir kempen di Bukit Bendera

CALON BN kerusi Parlimen Bukit Bendera, Richie Huan Xin Yun melakukan pecutan terakhir dalam kempen bertemu penduduk di Bukit Bendera, Pulau Pinang bagi menarik sokongan pengundi pada PRU15.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Berbaki tiga hari sebelum tempoh berkempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berakhir, calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Bukit Bendera, Richie Huan Xin Yun melakukan pecutan terakhir bertemu pengundi-pengundi di kawasan itu bagi menarik sokongan mereka terhadap BN.

Richie yang juga Ketua Pemuda Parti Cinta Malaysia (PCM) Nasional berkata, sepanjang tempoh berkempen sejak hari penamaan calon lalu, beliau telah berjumpa kira-kira 70 peratus pengundi terdiri daripada pelbagai kaum di kawasan Bukit Bendera.

“Saya mengutamakan ‘personal touch’ sepanjang berkempen kerana mahu pengundi di kawasan ini mengenali saya.

“Dalam tempoh kempen berbaki tiga hari ini, saya telah memulakan pecutan akhir untuk berjumpa pengundi, pada masa ini kami keluar setiap hari kira-kira pukul 7 pagi hingga 10 malam untuk bertemu pengundi,” katanya dalam sidang akhbar di Bilik Gerakan Calon BN Parlimen Bukit Bendera di Air Itam, di sini hari ini.

Pada PRU15, kerusi Parlimen Bukit Bendera menyaksikan pertembungan lima penjuru yang mana Richie berdepan dengan Syerleena Abdul Rashid (PH); Teh Yee Cheu (PRM); Hng Chee Wey (PN) dan Razalif Zain (Bebas).

Menurut Richie, beliau juga mendapati penerimaan pengundi terhadap calon BN semakin baik berbanding ketika kempen PRU13 dan PRU14.

“Pada masa itu, kita susah nak dekati pengundi setempat, mereka tidak akan cakap atau senyum dengan kita.

“Sekarang ini, pengundi nampaknya sudah boleh terima kita, malah ada di antara pengundi yang menjemput saya dan rakan-rakan masuk ke dalam rumah mereka untuk bersembang,” katanya.

Tambahnya, sebagai calon anak tempatan beliau tidak akan lari meninggalkan pengundi sekiranya dipilih menjadi wakil rakyat mereka.

“Saya tidak akan lari seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim atau Lim Kit Siang, mereka tidak tinggal di kawasan yang ditandingi, saya seorang anak tempatan yang tinggal di sini.

“Saya duduk bersama-sama pengundi dan selesaikan apa sahaja masalah yang dihadapi mereka, sebagai wakil rakyat kita kena duduk bersama rakyat dan cari penyelesaian masalah mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya