PRU15: Reezal Merican berlapang dada tewas di Kepala Batas - Utusan Malaysia

PRU15: Reezal Merican berlapang dada tewas di Kepala Batas

REEZAL MERICAN NAINA MERICAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS: Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berlapang dada menerima kekalahan beliau di kerusi Parlimen Kepala Batas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menurut beliau yang sebelum ini dua penggal menjadi Ahli Parlimen kawasan itu, penduduk di Kepala Batas telah pun menjalankan hak demokrasi dalam memilih wakil rakyat mereka yang tidak memihak kepada Barisan Nasional (BN).

“Hari ini (semalam) rakyat di Kepala Batas telah pun menjalankan hak demokrasi dalam memilih wakil rakyat mereka. Hari ini juga saya menerima dengan berlapang dada, keputusan PRU15 yang tidak memihak kepada Barisan Nasional di Kepala Batas ini.

“Saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada YB Dr. Mastura (Siti Mastura Muhammad) atas kemenangan di Parlimen Kepala Batas.

“Saya yakin YB Dr. Mastura dapat menggalas tanggungjawab sebagai seorang Ahli Parlimen dengan baik serta dapat meneruskan agenda-agenda rakyat yang telah diusahakan sepanjang saya diberi mandat sebagai Ahli Parlimen,” katanya menerusi hantaran di laman sosial Facebooknya malam tadi.

Dalam pada itu, Reezal Merican yang juga bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berterima kasih kepada para pengundi atas sokongan dan peluang kepada beliau untuk berkhidmat mewakili Kepala Batas dalam dua penggal sebelum ini.

“Insya-Allah, khidmat saya dan pasukan untuk Kepala Batas tidak akan terhenti hanya dengan keputusan PRU15 ini.

“Saya juga akan terus `mengkhidmati’ Kepala Batas dalam kapasiti saya yang baharu kerana inilah jiwa saya Demi Kepala Batas,” katanya.

Parlimen Kepala Batas antara yang menyaksikan kejutan terbesar dalam keputusan PRU15 semalam yang mana kerusi yang dianggap selamat oleh BN itu berjaya dirampas calon Perikatan Nasional (PN) daripada Pas, Siti Mastura.

Dalam pertembungan empat penjuru di kerusi itu, Mastura menang dengan majoriti 2,867 undi selepas memperoleh 28,604 undi berbanding Reezal Merican dengan 25,737 undi manakala dua lagi calon iaitu Danial Abdul Majeed (PH) serta Hamidi Abu Hassan (Pejuang) masing-masing memperoleh 14,214 dan 747 undi.

Kekalahan Reezal Merican itu juga sekali gus menyaksikan buat pertama kalinya BN kehilangan kerusi Parlimen Kepala Batas dalam tempoh 48 tahun iaitu sejak kawasan Parlimen itu diwujudkan bermula pada 1974. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.