SEGAMAT: Daerah ini mulai dilanda banjir di sesetengah kawasan dengan sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Balai Raya Gemereh 4 Batu Badak, di sini dibuka pagi tadi.
PPS pertama musim banjir kali ini dibuka pada pukul 8 pagi dan telah menempatkan 17 mangsa daripada lima keluarga.
Jurucakap Pengurusan Bencana Daerah berkata, PPS ini dibuka apabila air melimpah ke kawasan penempatan penduduk.
Kawasan yang terjejas ialah Kampung Seberang Batu Badak.
“Banjir ini akibat berlaku limpahan air di Sungai Muar. Bagaimanapun, pemantauan berterusan akan dijalankan oleh agensi berkaitan dari semasa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan di sini. – UTUSAN