Posisi bekas Ketua Menteri beri kelebihan kepada Adly

Posisi bekas Ketua Menteri beri kelebihan kepada Adly

ADLY Zahari (dua dari kanan) menyantuni penduduk di Pulau Sebang, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Pernah bergelar Ketua Menteri Melaka Ke-11 selepas Pilihan Raya Umum Ke- 14 (PRU14) memberi kelebihan kepada calon Pakatan Harapan (PH) kerusi Parlimen Alor Gajah, Adly Zahari untuk mendekati pengundi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) mengakui, lebih mudah memperkenal diri sebagai calon kerana rakyat boleh menilai sendiri apa yang dilaksanakannya sepanjang mentadbir kerajaan negeri selama 22 bulan.

Beliau berkata, jawatan Ketua Menteri adalah yang paling hampir dengan rakyat jika dibandingkan dengan dua calon lain, masing-masing seorang bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) dan Pengarah Ekonomi di Pejabat Perdana Menteri.

“Saya fikir itu (jawatan Ketua Menteri) memang ada kelebihannya kerana masyarakat boleh menilai. Antara tiga calon ini, sudah tentu bekas Ketua Menteri paling hampir dengan rakyat.

“Ketua Menteri banyak membicarakan soal rakyat di peringkat akar umbi, jadi saya faham permasalahan rakyat. Saya tidak nafikan walaupun tempoh pentadbiran singkat, rakyat di Alor Gajah telah mengenali dan mereka boleh menilai saya.

“Saya juga anak tempatan dan secara tidak langsung lebih dekat dengan penduduk Alor Gajah. Segala potensi yang kita ada mungkin boleh menyumbang kepada pembentukan Alor Gajah sebagai perbandaran dengan kehidupan lebih selesa, pendapatan lebih tinggi dan mempunyai masa depan lebih terjamin,” katanya ketika ditemui.

Parlimen Alor Gajah menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Adly dengan calon Perikatan Nasional (PN) yang juga penyandang kerusi, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof; calon Barisan Nasional (BN), Shahril Sufian Hamdan dan calon Gerakan Tanah Air (GTA), Muhammad Nazriq Abdul Rahman.

Sementara itu, mengenai momentum berkempen, Pengerusi PH Melaka itu menyasarkan untuk bertemu sehingga 70 peratus daripada 93,000 pengundi dalam Parlimen berkenaan.

Katanya, pertemuan dengan pengundi melibatkan tiga tumpuan iaitu di tempat-tempat awam, penganjuran program parti serta secara maya di pelbagai platform dalam talian.

“Masuk hari keempat saya lakukan beberapa pusingan kempen di semua Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Alor Gajah. Saya melihat ada satu indikator yang baik daripada rakyat kerana telah mengenali saya.

“Secara keseluruhannya, kita boleh bertemu hampir 60 hingga 70 peratus pengundi. Ada sebahagian pengundi tidak berada di Melaka dan kita akan gunakan komunikasi melalui media bagi bertemu serta menyampaikan maklumat kepada mereka,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN