Polis Johor usah selesa, alpa - Kamarul Zaman

Polis Johor usah selesa, alpa – Kamarul Zaman

KAMARUL Zaman Mamat menyerahkan sijil penghargaan kepada salah seorang anggota polis wanita pada Majlis Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen Johor di Johor Bahru, hari ini. - FOTO/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pegawai dan anggota polis di negeri ini digesa tidak berasa selesa dan alpa dengan pelbagai kejayaan diraih dalam usaha membanteras jenayah.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, sikap terlalu selesa dan alpa hanya akan menjejaskan prestasi semasa dan boleh mengundang keburukan terhadap imej agensi berkenaan.

“Sentiasalah perbaiki setiap kekurangan yang ada dari semasa ke semasa dalam memberikan perkhidmatan terbaik sepanjang masa kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya penduduk negeri ini.

“Seluruh anggota dan kakitangan polis Johor juga diingatkan agar meningkatkan integriti, pentadbiran dan sikap anti rasuah. Perkara ini tidak boleh dipandang ringan kerana  akan menjadi faktor keruntuhan tahap disiplin serta penyalahgunaan kuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen Johor di sini hari ini, yang turut dihadiri timbalannya, Deputi Komisioner M. Kumar.

Dalam pada itu, Kamarul Zaman turut memuji kecekapan pegawai dan anggotanya dalam memastikan pelaksanaan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di negeri ini berjalan lancar tanpa sebarang insiden kekacauan.

“Sejak Januari hingga Oktober, banyak kejayaan telah dicapai, antaranya penurunan indeks jenayah sebanyak 8.11 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu dengan 51.50 peratus kes berjaya diselesaikan.

“Polis Johor juga telah menahan seramai 12,255 suspek atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah dan merampas 2.95 tan dadah bernilai RM12.81 juta, selain sitaan aset sindiket dadah bernilai RM8.94 juta.

“Di samping itu, polis Johor terus memantau kegiatan ekstremis agama dan kumpulan ajaran sesat dengan beberapa tindakan telah diambil untuk didakwa dan dibicarakan di mahkamah. Ini bertujuan memastikan agama Islam sentiasa terpelihara di negeri ini,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN