PH yakin peratus keluar mengundi tinggi - Anthony Loke

PH yakin peratus keluar mengundi tinggi – Anthony Loke

ANTHONY Loke Siew Fook ketika menyampaikan ucapan pada program Ceramah Mega Harapan Jerai di Yan Kecil, Yan, Kedah. - UTUSAN/NUR SYAZWANA MANSOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERAI: Pakatan Harapan (PH) yakin peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tinggi seperti PRU14 meskipun ketika rakyat sedang berdepan dengan kebimbangan banjir.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, berdasarkan tinjauan mereka, pengundi yang keluar akan mencapai setinggi lebih 80 peratus seperti yang dicatatkan pada PRU14 lalu.

“Berdasarkan tinjauan kami, ramai pengundi mahu keluar mengundi kerana mereka mahu melakukan perubahan. Kami yakin pengundi keluar pada PRU15 ini agak tinggi,” katanya ketika ditemui selepas Ceramah Mega Harapan Jerai di Yan Kecil, malam tadi.

Beliau berkata, pihaknya berharap banjir monsun tidak menghalang majoriti pengundi untuk melaksanakan hak demokrasi mereka. 

“Kalau kawasan banjir memang akan membawa kesusahan kepada rakyat. Sebab itu kita sudah cakap banyak kali kenapa kita nak elak buat PRU pada ketika ini, jadi sekarang ini terbukti benar.

“Dari situ rakyat boleh menilai, dan rakyat akan lebih menolak Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) kerana mereka sama-sama buat keputusan untuk bubarkan Parlimen di tengah-tengah musim tengkujuh ini.

“Terutama pemimpin-pemimpin BN akan menerima padahnya kerana umum mengetahui pemimpin BN yang menekan untuk mengadakan PRU ketika ini,” ujarnya.

Mengulas mengenai jangkaan kerusi yang bakal dimenangi PH, Anthony Loke berkata, beliau tidak mahu membuat sebarang jangkaan sebaliknya PH akan berusaha untuk memenangi setiap kerusi yang ditandingi.

“Kita harap, kita akan dapat kerusi majoriti mudah memandangkan momentum sambutan yang baik dari pengundi.

“Sambutan terhadap ceramah-ceramah kita, terutamanya ceramah Datuk Seri Anwar Ibrahim amat memberangsangkan, kita dapat maklum balas yang tidak dijangka di kubu-kubu kuat BN seperti Bagan Datuk dengan kehadiran yang cukup ramai.

“Ini menunjukkan rakyat mahukan perubahan dan PH ada sedikit kelebihan tetapi kita tahu PRU ini apa-apa sahaja boleh berlaku, kita akan ambil pendekatan berhati-hati dan terus bekerja kuat dan cermat,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya