PH tawar formula kestabilan kerajaan, kembalikan kegemilangan

PH tawar formula kestabilan kerajaan, kembalikan kegemilangan negara – Anwar

ANWAR Ibrahim berucap pada festival anak muda di Tambun, Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Pakatan Harapan (PH) menawarkan formula kestabilan kerajaan kepada rakyat yang akan melaksanakan dasar-dasar untuk mengembalikan kegemilangan negara jika mengambil alih kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, rakyat akan menjadi saksi kepada penambahbaikan mutu perkhidmatan awam serta komitmen yang diperbaharui untuk memperbaiki kehidupan rakyat ke suatu tahap yang belum pernah disaksikan. 

Beliau berkata, PH boleh melaksanakan semua impian itu dengan sebuah kerajaan yang stabil. 

“Sebuah kerajaan akan menjadi stabil jika para pemimpinnya berkhidmat demi rakyat bukan untuk kepentingan diri sendiri. 

“Sebuah kerajaan akan menjadi stabil jika pemimpinnya punyai akhlak, menolak rasuah dan menjunjung kedaulatan undang-undang,” katanya dalam perutusan khas PRU15 hari ini.

Menurut Anwar, PH terdiri daripada satu pasukan yang komited terhadap agenda yang mengangkat budaya ihsan dan rahmah buat rakyat.

Beliau berkata, pemimpin PH telah membuktikan kejujuran dan integriti mereka. 

“Menerusi khidmat mereka kepada rakyat, kita akan memulihkan keyakinan antara rakyat dengan kerajaan. 

“Selepas PH mengambil alih kerajaan, saya tidak sesekali akan mengizinkan bertunasnya kebencian. 

“Saya tegaskan bahawa sikap permusuhan dan kebencian sesama kaum tidak ada tempat dalam negara kita. 

“Kita akan merangkul kerjasama semua kaum Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan inilah caranya untuk menjamin kebajikan setiap rakyat dan menzahirkan sikap ihsan terutama buat mereka yang sedang menghadapi berbagai ujian dan cabaran,” katanya.

Anwar berkata, pilihan raya bukan soal menukar Perdana Menteri tetapi merupakan peluang terbaik untuk menyelamatkan dan melakukan perubahan yang menyeluruh untuk memulihkan negara.

“Rakyat mempunyai kuasa untuk menentukan ke mana hala tuju negara, untuk menentukan kerajaan bagaimana yang  diimpikan.

“Manfaatkanlah kuasa demokrasi  sebaik mungkin,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.