Persatuan nelayan harap Anwar dengar rayuan batalkan projek tambak laut - Utusan Malaysia

Persatuan nelayan harap Anwar dengar rayuan batalkan projek tambak laut

KAWASAN pantai dan laut terutama di sekitar Selatan Pulau Pinang iaitu merangkumi Teluk Kumbar, Permatang Damar Laut dan Gertak Sanggul dikatakan bakal terjejas selepas projek PSR dijalankan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Persatuan Nelayan Pulau Pinang (PenMutiara) berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mendengar rayuan komuniti nelayan di Pulau Pinang untuk membatalkan tanpa syarat projek Penang South Islands (PSI) atau dahulunya dikenali projek tambakan laut selatan (PSR).

Pengerusi PenMutiara, Ibrahim Che Rose berkata, sebelum ini rayuan supaya projek PSI itu dibatalkan juga pernah disuarakan oleh bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.

Katanya, pihaknya akan mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri secepat mungkin bagi berbincang mengenai projek PSI itu yang didakwa menjejaskan ekosistem laut dan kehidupan komuniti nelayan.

“Kami berharap Anwar mendengar rayuan kami dan juga Nurul Izzah supaya projek PSR itu dibatalkan dengan tanpa syarat.

“Kami akan berjumpa dengan Perdana Menteri secara rasmi secepat mungkin dan Selasa ini, satu surat akan diserahkan kepada beliau berhubung isu tambakan laut ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Pojek PSI atau dahulunya dikenali sebagai projek tambakan laut selatan (PSR) merupakan projek seluas hampir 17 kilometer persegi membabitkan projek pembangunan tiga pulau buatan berkeluasan 1,700 hektar di perairan Permatang Damar Laut berdekatan Bayan Lepas.

Bagaimanapun, PenMutiara mendakwa kira-kira 6,000 ahli persatuan itu membantah projek PSI kerana didakwa menjejaskan ekosistem lautan di kawasan tersebut.

Pada 13 Julai 2019, Anwar pernah mengadakan perjumpaan dengan komuniti nelayan di Unit Nelayan Sungai Batu bagi mendengar keluhan mereka berkenaan projek PSI.

Menurut Ibrahim, beliau yakin Anwar akan mengotakan janjinya kepada komuniti nelayan di negeri itu memandangkan Perdana Menteri berkenaan pernah turun padang bertemu sendiri dengan komuniti nelayan di Unit Nelayan Sungai Batu.

“Bagaimanapun sekiranya projek ini tetap mahu diteruskan kami akan mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya