fbpx

Perkhidmatan awam teguh, komited laksana agenda pembaharuan dibawa PM

ANWAR Ibrahim bersama Ketua-Ketua Setiausaha dan Ketua Perkhidmatan dalam sesi amanat dan perutusan di Putrajaya. - GAMBAR FACEBOOK MOHD. ZUKI ALI

PUTRAJAYA: Kumpulan penjawat awam memberi jaminan untuk berdiri teguh dan komited dalam melaksanakan agenda pembaharuan (islah) sebagaimana dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, tindakan itu bagi memastikan tatakelola yang terbaik demi kepentingan rakyat dan negara.

“Saya bersama ketua-ketua setiausaha dan ketua perkhidmatan berpeluang mendengar amanat dan perutusan Perdana Menteri.

“Insha-Allah, saya dan rakan-rakan perkhidmatan awam teguh dan komited dalam melaksanakan agenda pembaharuan (islah) yang dibawa YAB Perdana Menteri dalam memastikan tatakelola yang terbaik demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya dalam catatan Facebook beliau hari ini.

Beliau turut berkongsi gambar pertemuan Perdana Menteri dalam sesi amanat dan perutusan bersama ketua-ketua setiausaha dan ketua perkhidmatan di Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri di sini.

Terdahulu, Anwar menghadiri pertemuan sulung beliau dalam Perhimpunan Bulanan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri menyampaikan amanatnya bahawa negara memerlukan perubahan atau reformasi kepada satu tahap kejayaan yang pernah dicapai dahulu, namun situasi itu semakin merosot dari segi ekonomi, kestabilan dan disiplin.

Menurut Perdana Menteri, keadaan itu akibat perlanggaran hukum termasuk isu-isu penyelewengan dan rasuah yang kadang-kadang ada kaitannya dengan peringkat penjawat awam.

Justeru, beliau berharap semua penjawat awam yang menjadi tonggak perkhidmatan rakyat akan sepenuhnya bersama beliau, iaitu tidak semestinya dalam erti kata fahaman politik, tetapi jalan perkhidmatan yang harus bebas, profesional dan terikat dengan semangat ikrar untuk menjadikan manusia berguna kepada keluarga dan masyarakat. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN