PETALING JAYA: Penuntut wanita yang dalam perjalanan pulang ke rumah sewanya di sebuah pangsapuri di Pandan Jaya, dekat sini, bertukar episod malang apabila dicabul seorang lelaki ‘gila seks‘ yang bertindak memegang punggungnya sebelum melarikan diri kelmarin.
Kejadian berlaku pada pukul 12.30 tengah hari apabila mangsa berusia 22 tahun bersama dua lagi rakannya melalui jalan jejantas menghubungkan sistem transit aliran ringan (LRT) Pandan Jaya untuk pulang ke rumah sewa.
Bagaimanapun tiba-tiba dia merasa disentuh seseorang dari belakang sebelum menyedari suspek melarikan diri selepas melakukan perbuatan itu.
Susulan itu, mangsa kemudian tampil membuat laporan di Balai Polis Pandan Indah.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, susulan laporan polis itu, pasukan Task Force Balai Polis Pandan Indah menahan suspek berusia 33 tahun di kawasan LRT Pandan Jaya pada 3.30 petang, kelmarin.
“Semakan mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau namun tidak dikehendaki polis.
“Ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dari dadah,” katanya di sini hari ini.
Tambahnya, suspek ditahan lanjut mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan. – UTUSAN