Pengundi mahu wakil rakyat buat kerja

Pengundi mahu wakil rakyat buat kerja, bukan hanya bijak berceramah

WAKIL rakyat memikul tanggungjawab berat kerana pengundi mahu perkhidmatan terbaik daripada mereka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Pengundi mahu wakil rakyat yang memberi perkhidmatan termasuk sentiasa ‘turun padang’, bukannya yang bijak berceramah secara retorik dan pandai berjanji sahaja.

Ketua UMNO Bahagian Tambun yang menjadi calon Barisan Nasional (BN) Parlimen tersebut, Datuk Aminuddin Md. Hanafiah berkata, ketika ini masyarakat mahu wakil rakyat yang mampu menyelesaikan masalah di kawasan diwakilinya, bukan berdasarkan populariti calon semata-mata.

“Jika berlaku bencana seperti ribut dan banjir kilat, apa yang dimahukan rakyat adalah pemimpin yang mampu membantu mereka dalam keadaan sukar itu, yang turun padang, bukan bercakap retorik sahaja,” katanya dalam sidang akhbar selepas pengumuman calon BN Perak di sini, semalam.

Sambil meletakkan dirinya sebagai underdog kerana bertanding dengan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan penyandang kerusi tersebut yang juga Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Aminuddin percaya pengundi masih mengingati jasa dan perkhidmatan BN sebelum ini.

Tambahan, katanya, walaupun tewas semua kerusi di Parlimen Tambun pada 2018, BN tidak pernah berhenti memberi perkhidmatan pengundi di kawasan tersebut.

Justeru, beliau percaya pengundi di situ boleh menilai semula perkhidmatan diberikan BN sepanjang menguasai Parlimen itu sebelum ini sebelum diambil alih oleh PH pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Sebagai Parlimen yang mana 70 peratus berada dalam kawasan bandar raya, tumpuan tentunya berbeza berbanding kawasan luar bandar dan sepenuhnya bandar.

“Isu seperti harga rumah yang semakin meningkat, peluang pekerjaan terhad, gaji rendah dan kemiskinan bandar adalah antara isu utama yang perlu diberi perhatian,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN