PETALING JAYA: Pengundi dijangka kekal cenderung memilih parti berbanding calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Berdasarkan keputusan PRU14 dan beberapa Pilihan Raya Negeri (PRN), majoriti pengundi di bandar cenderung memilih parti pelbagai kaum seperti Pakatan Harapan (PH) berbanding calon popular.
Majoriti pengundi luar bandar pula memilih parti yang berasaskan satu kaum seperti UMNO dan Pas, berbanding calon-calon yang bertanding.
Perkara sama juga berlaku di Sabah dan Sarawak apabila pengundi bandar lebih cenderung memilih parti tidak berasaskan kaum seperti DAP, pengundi luar bandar pula memilih parti yang memperjuangkan hak Sabah atau Sarawak.
Ini menunjukkan, baik pengundi bandar atau luar bandar, majoriti masih cenderung memilih parti pilihan masing-masing berbanding calon-calon yang bertanding di 222 kerusi Parlimen.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik Pusat Perdana Fakulti Razak Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Mazlan Ali menjelaskan, pengundi masih cenderung kepada parti kerana ia bersandarkan kepada asas perjuangan satu-satu parti tersebut.
Katanya, pengundi juga hanya akan memilih calon daripada parti yang didukungnya berbanding calon parti yang tidak mempunyai perjuangan yang sama.
“Contohnya, pengundi Melayu di luar bandar terutama di Kelantan, Terengganu dan Pahang masih memilih parti berbanding calon kerana mereka hanya akan menyokong parti yang memperjuangkan Melayu dan Islam.
“Pengundi di bandar cenderung dengan parti tidak berasaskan perkauman dan tidaklah setia dengan mana-mana parti, sebab itu PH boleh menang besar, UMNO dan Pas pula kalah teruk dan tidak popular di bandar,” katanya ketika dihubungi.
Sementara itu, geostrategis Prof. Dr. Azmi Hassan menyifatkan, hanya beberapa calon sahaja mempunyai aura begitu kuat yang mampu berdikari tanpa pengundi mengambil kira parti yang diwakilinya.
“Hakikatnya, dalam empat ke lima dekad lepas, parti adalah tunjang atau penentu pemilihan calon oleh pengundi. Dalam PRU15, walaupun pengundi memilih wakil rakyat sesuatu Parlimen, dalam fikiran mereka, siapa yang akan menerajui kerajaan Persekutuan, sebab itu faktor parti diambil kira.
“Katakanlah calon itu agak berwibawa tetapi parti yang diwakilinya tidak ada harapan untuk membentuk kerajaan Persekutuan, maka ini menjadi faktor negatif terhadap calon itu walaupun berwibawa sekalipun,” katanya.
Tambahnya, beberapa wakil rakyat dalam PRU lalu juga menunjukkan bahawa kekuatan seseorang calon sebenarnya bersandarkan kepada reputasi parti yang diwakilinya. – UTUSAN










