Pengoperasian semula LRT Kelana Jaya sempurna

Pengoperasian semula LRT Kelana Jaya sempurna, tiada gangguan

WEE KA SIONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU : Pengoperasian semula perkhidmatan sistem Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya berjalan dengan lancar tanpa sebarang gangguan hari ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, pasukan teknikal Rapid Rail serta pihak pengilang peralatan asal (OEM) Thales Group akan terus memantau bagi memastikan penambahbaikan dapat dilakukan segera. 

Beliau berkata, pihak Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) juga akan sentiasa memberi laporan tentang perkhidmatan LRT itu dari semasa ke semasa.

“Pagi ini saya dapat laporan daripada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Mohd. Azharuddin Mat Sah tentang perkembangan terbaru, laporan yang dikemukan ialah semua tren dan sistem memang sempurna dan tiada sebarang masalah setakat ini.

“Walau bagaimanapun, saya telah berpesan kepada Prasarana, pasukan teknikal Rapid Rail serta OEM, kita kena pastikan dalam tempoh ini operasi perkhidmatan LRT mantap.

“Saya juga ingatkan supaya pantau perjalanan untuk beberapa hari lagi, jika ada apa-apa berlaku kita dapat melakukan penambahbaikan segera,” katanya kepada pemberita ketika melawat Johor Bahru Ancient Temple, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Selasa lalu, Rapid Rail memaklumkan, perkhidmatan laluan berkenaan mengalami gangguan dan terpaksa dihentikan, berpunca daripada sistem kawalan tren automatik (ATC) yang menyebabkan kehilangan signal di antara pusat kawalan dan tren.

Keesokan harinya, sebahagian perkhidmatan sistem LRT laluan Kelana Jaya digantung operasi selama tujuh hari, membabitkan 16 stesen dari Stesen Kelana Jaya hingga Stesen Ampang Park.

Ka Siong berkata, perkhidmatan LRT itu yang beroperasi sepenuhnya bermula 6 pagi tadi, iaitu dua hari lebih awal daripada jangkaan diharapkan dapat terus berjalan seperti biasa.

“Pengoperasian semula LRT ini dinanti-nantikan, setelah pengujian empat hari beturut-turut dan bermesyuarat bagi memastikan aspek keselamatan dilihat dan jadi keutamaan.

“Saya juga meminta Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) hantar pasukan mereka untuk buat pengesahan tentang keselamatan kerana ia suatu perkara yang perlu dititikberatkan.

“Sekiranya berlaku sebarang perkara dan tidak yakin dengan sistem yang ada, maka perlu buat intervensi secepatnya untuk melindungi pengguna,” katanya. 

Dalam pada itu, beliau memberitahu, syarikat penerbangan di negara ini diminta untuk meningkatkan frekuensi penerbangan masing-masing terutamanya pada waktu tengah malam ketika musim perayaan.

“Saya telah meminta sebelum ini, supaya Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) supaya kita dapat menambah kekerapan penerbangan kepada penumpang, sekali gus kurangkan bebanan rakyat khususnya masa perayaan.

“Kalau boleh, guna penerbangan tengah malam kerana tidak sibuk tanpa menjejaskan mutu dan kerja penyelenggaraan. Maka mereka boleh diizinkan terbang, jadi sekurang-kurangnya pada Tahun Baharu Cina dan seterusnya Hari Raya Aidilfitri berjalan lancar,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya