BERA: Program penjualan dan pengedaran produk asas tani dan pertanian tempatan ‘Bera Best’ perlu dilaksanakan kembali bagi membantu menjana pendapatan petani dan peladang di daerah ini.
Seorang penduduk, Norjalina Wahid, 39, berkata, inisiatif itu yang diperkenalkan ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Menteri Pertanian berjaya memasarkan produk ‘Bera Best’ hingga ke peringkat antarabangsa.
Jadi katanya, adalah perlu program seperti itu diperkenalkan kembali selepas ini.
“Program Bera Best sewaktu dilaksanakan memang terbukti membantu menjana pendapatan petani dan peladang di Bera.
“Kita sokong ia diteruskan kembali selepas ini, penduduk harap perkara ini direalisasikan,” katanya di sini.
Bagi Ahmad Faizal Abdullah, 43, pula, penduduk Bera memang menantikan program itu dilaksanakan semula.
“Kita harap dengan komitmen diberikan yang diberikan Perdana Menteri, program Bera Best dihidupkan kembali,” katanya.
Sementara itu, Ismail Sabri yang membuat tinjauan di Pasar Tani Kerayong di sini semalam berkata, program Bera Best akan dilaksanakan kembali sekiranya BN kembali memerintah negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.
Beliau berkata, ketika dilaksanakan sebelum ini, produk-produk tempatan Bera mendapat tempat di peringkat antarabangsa dan pasarannya meluas sehingga ke Dubai.
“Ramai usahawan tani dan industri kecil dan sederhana mendapat manfaatnya.
“Hasil pertanian mereka luas pasarannya dan pendapatan petani meningkat di samping mereka berbangga dengan kejayaan dalam bidang penghasilan produk pertanian dan asas tani lain.
“Tetapi program tersebut dihentikan apabila kerajaan bertukar tangan dan kerajaan waktu itu, tidak menganggap penting program tersebut,” katanya. – UTUSAN










