KUANTAN: Pembantu tadbir di sebuah Felda di sini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pecah amanah membabitkan wang tunai berjumlah RM41,652.42, di Mahkamah Sesyen 2 di sini hari ini.
Tertuduh, Nurul Syafiha Awang Za, 33, membuat pengakuan terbabit di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Zamzami Mohd Zain.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Nurul Shafiha yang masih berkhidmat ketika itu menggunakan wang tersebut bagi tujuan pembayaran khairat kematian bagi kegunaan sendiri.
Ibu kepada tiga anak itu sepatutnya menyerahkan wang khairat kematian terbabit kepada enam waris peneroka yang telah meninggal dunia. Tertuduh melakukan kesalahan terbabit antara Februari 2018 sehingga Jun 2019 bertempat di Pejabat Felda Sungai Panching Timur, di sini.
Jika disabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang boleh membawa kepada hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun dan dengan sebat dan hendaklah juga dikenakan denda.
Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Riffah Izzati Abdul Mutalif yang meminta tertuduh ditawarkan jaminan RM10,000 selain perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga perbicaraan selesai.
Dalam pada itu, tertuduh merayu agar wang jaminan dikurangkan berikutan tertuduh masih menanggung kedua ibu bapa dan tiga anaknya selain suami masih tidak dapat bekerja kerana baru selesai pembedahan.
Menurut tertuduh, anaknya yang berusia tiga bulan mengalami masalah kesihatan dan memerlukan rawatan selain mendakwa dirinya kini digantung kerja kerana dituduh melakukan kesalahan terbabit.
Sementara itu, Ahmad Zamzami memutuskan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin selain meminta tertuduh melaporkan diri setiap bulan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuantan.
Mahkamah menetapkan 22 Disember sebagai tarikh sebutan semula kes penyerahan dokumen. – UTUSAN