Peguam dakwa wang Najib dicuri

Peguam dakwa wang Najib dicuri

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah mempertikai kehilangan baki wang RM46 juta daripada RM160 juta milik Datuk Seri Najib Tun Razak yang disimpan di sebuah unit di Pavilion Residences, di sini yang didakwanya telah dicuri.

Beliau berkata, polis hanya menemukan RM114 juta yang kononnya didakwa hasil penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), ketika menyerbu premis itu pada 17 Mei 2018.

Menurut Muhammad Shafee, serbuan itu dibuat selepas keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 9 Mei 2018 dan pihak berkuasa itu juga tidak mengira wang di lokasi serbuan, sebaliknya di tempat lain yang menimbulkan pelbagai persoalan.

“Ingat perkara itu. Najib memaklumkan wang yang ada RM160 juta bukan RM114 juta. Maka, ada orang mencuri sejumlah wang itu. Polis pun tidak beritahu bagaimana wang ditemui itu dibungkus dan tidak menyerahkan senarai barang rampasan kepada penghuni premis itu.

“Selain itu, dalam premis tersebut ada jam tangan milik Najib dan beg tangan milik isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor. Mahkamah telah membuat keputusan mengenai perkara itu antaranya RM114 juta diserahkan kembali kepada Najib dan mengesahkan ia tiada kena mengena dengan 1MDB,” katanya dalam sidang di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Terdahulu, Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menolak permohonan kerajaan melucut hak harta bernilai kira-kira RM80 juta didakwa hasil penyelewengan dana 1MDB.

Harta itu membabitkan 2,435 barang kemas, tujuh jam tangan dan 29 beg tangan didakwa milik Najib serta Rosmah disita di Pavilion Residences, milik Obyu Holdings Sdn Bhd.

MUHAMMAD SHAFEE ABDULLAH

Muhammad Shafee berkata, bekas Perdana Menteri telah membuat laporan polis mengenai kehilangan wang itu dan mahukan siasatan dilakukan terhadap pasukan yang menyerbu premis berkenaan.

Beliau mendakwa, serbuan di Pavilion Residences adalah lebih kepada `Smoking Gun’ (mengaburi) tindakan untuk mengaitkan Najib dan Rosmah.

Peguam itu berkata, terdapat dakwaan bahawa dana itu diperoleh secara haram, dan serbuan secara ringkasnya digunakan untuk menunjukkan Najib dan Rosmah adalah pesalah dalam kes 1MDB.

Ditanya permohonan Najib kepada Jabatan Penjara untuk mengundi pada PRU15, Muhammad Shafee berkata beliau tidak tahu mengenainya.

“Saya juga tidak pasti jabatan itu membenarkan banduan untuk keluar mengundi. Sudah tentu pengarah dan pegawai penjara dibenarkan pergi mengundi,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN