PDRM siasat parti politik guna kanak-kanak untuk kempen PRU15 - Utusan Malaysia

PDRM siasat parti politik guna kanak-kanak untuk kempen PRU15

pru15
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Siasatan telah dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membabitkan kes kanak-kanak digunakan dalam kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di Sandakan, Sabah.

Pengarah Operasi PRU15, Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, siasatan berkenaan antara 30 kertas siasatan yang dibuka PDRM berhubung kesalahan semasa kempen PRU15 sejak 5 November lalu sehingga semalam.

Kata beliau, pengadu yang melihat rakaman video memaparkan 13 kanak-kanak yang berada di atas pentas bersama seorang calon parti bertanding.

“Semua kanak-kanak itu turut memakai baju mempunyai lambang calon parti berkenaan dengan melaungkan slogan parti terbabit,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelas Hazani, sebanyak lapan kertas siasatan dibuka di Sabah, empat di Kelantan dan Johor, Selangor (tiga), Kedah, Perak, Kuala Lumpur, Pahang, dan Sarawak (dua), manakala satu di Terengganu.

Pihaknya turut menahan 14 individu membabitkan kes yang dilaporkan di Kedah, Selangor, Kuala Lumpur, Kelantan dan Sarawak.

“Kesemua kertas siasatan itu dibuka mengikut Seksyen 147, Seksyen 427, Seksyen 435, Seksyen 504, Seksyen 505, Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

“Kita turut menyiasat berapa kesalahan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” jelasnya.

Hazani berkata, sebanyak 1,182 permit ceramah dikeluarkan PDRM di 14 kontinjen seluruh negara sepanjang kempen ini berlangsung.

“Kontinjen paling banyak permit ialah Sabah dengan 275 disusuli Perak (166) dan Sarawak (141).

“Tiada ceramah yang dikesan dijalankan tanpa permit semalam,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.