Pasang cip di gajah, elak ancaman penduduk 

Pasang cip di gajah, elak ancaman penduduk 

ABDUL Latiff Abdul Rahman menunjukkan foto operasi pemindahan gajah liar di Kampung Chatel, Lata Rek di Kuala Krai Kelantan. - UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU : Penyandang Ahli Parlimen Kuala Krai, dari Pas Abdul Latiff Abdul Rahman mahu meneruskan cadangan memasang kolar penjejak (cip) pada gajah-gajah di dalam kawasan hutan di jajahan ini jika diberi mandat sekali lagi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sebagai usaha melindungi hidupan liar itu.

Abdul Latiff berkata, konflik antara gajah dan manusia bukan isu baharu di jajahan itu malah boleh dikatakan sudah menjadi ancaman kepada penduduk kampung sehingga menyebabkan berlaku kerosakan kepada tanaman yang diusahakan.

Menurutnya, perbincangan awal bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) diadakan bagi mencari jalan terbaik menangani isu tersebut dan antara kaedah dicadangkan agensi berkenaan ialah memasang cip kepada salah seekor daripada kawanan gajah liar yang berjaya ditangkap.

“Tujuan pemasangan cip ini adalah menjejaki pergerakan dan keberadaan kawanan gajah liar terbabit menggunakan teknologi satelit terutama apabila hidupan liar ini berpindah ke kawasan lain atau keluar dari habitat asal.

“Cip akan dipasang kepada gajah terakhir yang ditangkap sebelum dikembalikan kepada kawanannya. Kaedah ini akan memudahkan Jabatan Perhilitan menjalankan operasi memantau gajah liar apabila pergerakannya dapat dikesan,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Perhubungan Pas Negeri Kelantan, di sini hari ini.

Abdul Latiff memaklumkan, proses berkenaan bagaimanapun tidak mudah dilaksanakan kerana ia turut melibatkan sensitiviti penduduk kampung.

“Sebelum kaedah pemasangan cip ini dapat dilaksanakan, Jabatan Perhilitan perlu bertemu penduduk kampung terlebih dahulu untuk memberikan penerangan dengan sejelas-jelasnya.

“Jabatan Perhilitan perlu memastikan penduduk benar-benar faham kaedah penggunaan cip ini kerana konflik gajah liar ini merupakan isu sensitif melibatkan aspek keselamatan dan ancaman terhadap sumber pendapatan mereka,” ujarnya.

Dalam pada itu beliau memberitahu, Jabatan Perhilitan menangkap dua ekor gajah liar di Kampung Chatel, Lata Rek dan difahamkan operasi pemindahan akan dilaksanakan pada petang ini.

Katanya, ibu dan anak gajah itu ditangkap tiga hari lepas dan gajah denak dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK), Kuala Gandah dibawa masuk ke kawasan berkenaan semalam.

“Saya sendiri masuk ke kampung tersebut bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mengkebang, Muhammad Mat Sulaiman pada minggu lalu, iaitu sebelum hari penamaan calon PRU15 selepas menerima aduan penduduk.

“Saya memaklumkan mengenai ancaman gajah liar di situ kepada Jabatan Perhilitan dan operasi mengesan dan menangkap gajah liar dimulakan awal minggu ini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya