Pas pertimbang tawaran sertai kerajaan perpaduan

Pas pertimbang tawaran sertai kerajaan perpaduan

TAKIYUDDIN HASSAN 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pas akan mempertimbang tawaran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk Perikatan Nasional (PN) menyertai kerajaan perpaduan di bawah pimpinannya.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya perlu mengambil kira pandangan rakan komponen dalam PN dan pendapat umum mengenai perkara itu.

“Mengenai tawaran Perdana Menteri kepada PN untuk menyertai kerajaan perpaduan pimpinannya, Pas mengucapkan terima kasih seterusnya dalam waktu terdekat akan membincangkan perkara ini dengan rakan-rakan komponen dalam PN.

“Kami turut sama meninjau pandangan dan kesediaan rakyat khususnya para pengundi yang telah memberikan undi yang amat memberangsangkan kepada Pas dan PN dalam PRU15,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Takiyuddin, Pas akur dan menerima keputusan Yang di-Pertuan Agong dengan melantik Anwar sebagai Perdana Menteri Ke-10.

“Pas menerima dengan reda dan hati terbuka segala ketentuan Allah yang tentunya mempunyai hikmatnya yang tersendiri. Pas menjunjung kasih dan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah ke hadapan Yang di-Pertuan Agong atas kebijaksanaan melaksanakan fungsi Seri Paduka berdasarkan kuasa yang diperuntukkan di bawah undang-undang khususnya dalam soal pelantikan Perdana Menteri berdasarkan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a), Perlembagaan Persekutuan.

“Pas turut mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Anwar yang telah diperkenan dan dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-10. Pas yakin beliau akan melaksanakan tanggungjawab dengan baik, adil dan ihsan serta turut mengutamakan konsep federalisme yang wajar kepada seluruh negeri-negeri dan rakyat jelata,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya