Pak Wan menang, Asahan terang - Utusan Malaysia

Pak Wan menang, Asahan terang

MOHD. REDZUAN Md. Yusof (tengah) menyantuni masyarakat di Parlimen Alor Gajah, Melaka dalam siri kempennya pada PRU15.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Penukaran lampu jalan biasa kepada lampu diod pemancar cahaya (LED) di jalan-jalan gelap dalam Parlimen Alor Gajah terutamanya Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan menjadi salah satu tawaran calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof dalam manifestonya.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, ia akan ditunaikan dalam tempoh sebulan sekiranya diberikan mandat sekali lagi bergelar Ahli Parlimen Alor Gajah selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Kata Mohd. Redzuan, beliau berharap kerenah birokrasi tidak akan melambatkan usahanya menunaikan janji tersebut, memandangkan penukaran lampu berkenaan tidak serumit memasang tiang lampu baharu yang pasti memerlukan kelulusan pihak berwajib.

“Dalam sebulan kalau ada pembekal, kontraktor yang boleh menyegerakan, benda ini mudah hanya menukarkan lampu sodium tekanan tinggi itu kepada penggunaan LED.

“Setakat ini yang kita tahu Asahan naikkan isu ini, jadi kalau di tempat lain kita ambil maklum dan kalau perlu bantu, kita akan bantu, tak ada pilih tempat.

“Tapi kalau saya nak sebutkan tambah tiang ke tempat itu memerlukan kelulusan yang berbeza, ia melibatkan tenaga walaupun hendak tukar lampu, birokrasi itu melengahkan,” katanya dalam sidang akhbar Majlis Pelancaran Manifesto PN Parlimen Alor Gajah di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Gangsa di sini, malam ini.

Pada PRU15, Mohd. Redzuan berdepan tiga lawan iaitu Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan; calon Pakatan Harapan (PH), Adly Zahari dan calon Gerakan Tanah Air (GTA), Muhammad Nazriq Abdul Rahman.

Tambah Mohd. Redzuan lagi, penambahbaikan itu merupakan antara 17 tawaran yang akan dilaksanakan di bawah lima teras hasil aduan rakyat serta misi pembangunan di Parlimen berkenaan.

Dalam pada itu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) itu turut membidas pihak-pihak yang mendakwanya tidak turun padang selama lima tahun sebelum ini.

“Manifesto ini berasaskan daripada maklum balas, isu-isu tempatan, jangan kata kita tak turun padang lima tahun, kita tak perlu beritahu, itu tanggungjawab ahli Parlimen,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya