Nur Jazlan dakwa wujud beli undi, salah satu faktor tewas di Pulai

Nur Jazlan dakwa wujud beli undi, salah satu faktor tewas di Pulai

NUR JAZLAN MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed mendedahkan terdapat perbuatan beli undi di kawasan Parlimen Pulai yang menyaksikan beliau tewas di kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menurutnya, beberapa pengundi Melayu yang ditemui pasca PRU15 menjelaskan, mereka menerima bayaran RM300 seorang untuk mengundi calon daripada parti lain yang bertanding.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Pulai berkata, pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menyiasat perkara itu kerana ia melibatkan integriti dan isu rasuah politik.

“Beberapa hari selepas keputusan diumumkan, saya didatangi beberapa pengundi Melayu yang memohon maaf kepada saya kerana tak mengundi saya pada 19 November lalu selepas mereka ditawarkan RM300 seorang untuk pangkah calon parti lawan.

“Saya agak terkejut kerana tak sangka parti yang melaungkan lawan rasuah tetapi rupa-rupanya berbelanja besar beli undi.

“Patutlah saya tengok walaupun mereka letakkan calon orang tempatan tak kenal dengan jentera parti yang tak efektif, tapi boleh meyakinkan 20,000 pengundi Melayu memilih calon dari parti tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada PRU15 yang lalu, Nur Jazlan meraih 31,726 undi gagal menggugat penyandang kerusi itu, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang memperoleh 64,900 undi, menang dengan majoriti 33,174 undi.

Walau bagaimanapun, Nur Jazlan enggan menyalahkan pengundi berkenaan setelah beliau gagal merampas kembali kerusi Parlimen Pulai yang dimenangi pada PRU13.

Beliau berpandangan ada kemungkinan pengundi tersebut dalam keadaan terdesak untuk menanggung kos sara hidup sehingga mereka terpaksa terima ‘pemberian’ dari ejen-ejen calon lawan untuk mendapat undi.

“Selama ini orang ramai atau parti lawan selalu tuduh UMNO dan Barisan Nasional (BN) berbelanja besar dan tuduh kita beli undi untuk menang, tapi rupa-rupanya mereka yang buat kerja-kerja keji dan jijik itu.

“Melihatkan jumlah kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diperoleh di seluruh negara oleh parti tersebut, nampaknya strategi itu berjaya.

“Yang saya ceritakan ini benda yang berlaku di Pulai saja, di tempat lain saya tak tahu atau mungkin benda sama pun berlaku di tempat lain. Tak tahulah, mungkin SPR dan SPRM boleh siasat tentang isu beli undi di Pulai dan juga tempat-tempat lain,” katanya.

Tambahnya, sudah hampir dua minggu PRU15 berlalu dan beliau reda serta pasrah dengan keputusan pengundi Pulai yang tidak memihak kepadanya.

Sejak dari Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor lagi beliau sudah menyatakan keputusan untuk tidak bertanding lagi di kerusi Pulai kerana tahu banyak faktor yang menyebabkannya sukar untuk menang.

“Namun parti tetap mengharapkan saya bertanding lagi dan saya tak boleh menolak arahan parti. Biarpun gagal menghadiahkan kemenangan untuk BN, tapi saya tetap bangga kerana hasil desakan saya untuk PRN Johor diadakan awal tahun lalu membuatkan BN berjaya menubuhkan kerajaan yang stabil dan kukuh di Johor,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.