KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, Datuk Seri Najib Tun Razak menggunakan kedudukannya untuk menghalang Laporan Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) daripada dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram berhujah, bekas Perdana Menteri mahukan laporan yang awal itu disemak terlebih dahulu dan dipinda bagi menyembunyikan salah laku beliau dan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low dalam operasi 1MDB.
Sri Ram berhujah, Najib tidak sepatutnya mengarahkan Ketua Audit Negara (ketika itu), Tan Sri Ambrin Buang bertemunya pada 22 Februari 2016 selepas tidak berpuas hati dengan kandungan laporan berkenaan (P81).
Hujah beliau, Najib bukan sahaja melanggar undang-undang kerana memanggil Ambrin pada pertemuan tersebut, malah tidak seharusnya memanggil mesyuarat pada 24 Februari 2016 dan mengarahkan penyediaan laporan audit baharu (P83).
Sri Ram menghujahkan, laporan pengauditan 1MDB itu seterusnya dipinda dan diserahkan kepada PAC yang mengandungi perbezaan material seperti yang dinyatakan dalam pertuduhan.
“Najib mencampuri urusan Ambrin apabila mengarahkan beliau membincangkan kandungan P81 dengan pelbagai pihak termasuk Arul Kanda pada mesyuarat 24 Februari 2016 yang menyebabkan Ambrin melanggar undang-undang,” hujah Sri Ram.
Mahkamah sedang mendengar penghujahan akhir kes pendakwaan pada perbicaraan meminda laporan pengauditan 1MDB melibatkan Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda Kandasamy yang didakwa bersubahat dengannya.
Sehubungan itu, Sri Ram menghujahkan, mesyuarat pada 22 Februari 2016 yang memerlukan Ambrin membincangkan kandungan laporan audit tersebut telah melanggar perintah halangan kerahsiaan.
Hujah beliau, Ketua Audit Negara merupakan pihak yang melaksanakan fungsi keperlembagaan secara bebas dan urusannya tidak boleh dicampuri berdasarkan Seksyen 8(3) Akta Audit 1957.
Sri Ram berhujah, mana-mana pihak dilarang mengganggu pelaksanaan tugas keperlembagaan Ketua Audit Negara.
Hujahnya, Seksyen 8(3) menyatakan adalah menjadi kesalahan untuk menyebabkan Ketua Audit Negara membocorkan atau menyampaikan apa-apa maklumat yang sampai ke pengetahuannya sama ada secara langsung atau tidak langsung.
Sri Ram selanjutnya berhujah, Najib mempunyai kepentingan dalam 1MDB dan telah mencampuri urusan beberapa individu dalam usaha menghalang laporan awal daripada diterima oleh PAC.
Beliau berkata, Najib adalah pemegang saham korporat 1MDB dan mempunyai kuasa ke atas perniagaan serta hal ehwal syarikat, malah beliau juga adalah Pengerusi Lembaga Penasihat.
Hujah Sri Ram, Najib mempunyai kepentingan peribadi dalam hasil siasatan PAC dan menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan Ketua Setiausaha Sulitnya, Tan Sri Shukry Mohd. Salleh bagi memastikan nama Jho Low) dikeluarkan daripada dokumen audit.
Bagi Arul Kanda pula, Sri Ram berkata, pendedahan penuh ketika memberi keterangan selaku saksi pendakwaan, masih diragui.
“Terpulang kepada mahkamah untuk memutuskan sama ada Arul Kanda berhak mendapat indemniti (pengecualian liabiliti undang -undang) dan seterusnya dibebaskan daripada pertuduhan bersubahat dengan Najib.
Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan 30 Januari depan bagi keputusan sama ada Najib dan Arul Kanda dibebaskan atau dipanggil membela diri terhadap pertuduhan.
Najib dan Arul Kanda didakwa buat kali pertama di Mahkamah Sesyen di sini pada 12 Disember 2018. Pada 14 Mac 2019, kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di sini untuk dibicarakan di hadapan Hakim Mohamed Zaini.
Mengikut pertuduhan, Najib selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu, didakwa telah menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya iaitu perlindungan daripada tindakan sivil atau jenayah berkaitan peranannya di dalam perjalanan operasi syarikat 1MDB.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa mengarahkan Laporan Pengauditan 1MDB yang telah dimuktamadkan oleh Ketua Audit Negara dipinda sebelum laporan berkenaan dimuktamadkan semula dan dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara (PAC), yang mana Najib secara langsung mempunyai kepentingan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Februari 2016.
Pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Arul Kanda pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam meminda laporan berkenaan bagi melindungi bekas Perdana Menteri itu daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di tempat dan masa yang sama mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 23 (1) & 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman sama, jika sabit kesalahan. – UTUSAN