Nadir bumi Kelantan cecah RM125 bilion - Takiyuddin - Utusan Malaysia

Nadir bumi Kelantan cecah RM125 bilion – Takiyuddin

TAKIYUDDIN Hassan (tiga dari kiri) menyerahkan Sijil Pengiktirafan Stong Geopark Kebangsaan kepada Ahmad Yakob di Majlis Penyerahan Sijil Pengiktirafan Stong Geopark Kebangsaan di Kota Bharu, Kelantan. - UTUSAN/KAMARUL BISM KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) mendedahkan Kelantan mempunyai kekayaan unsur nadir bumi atau Non-Radioactive Rare Earth Element (NRREE) yang dianggarkan bernilai RM125 bilion.

Menterinya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, rizab nadir bumi di negeri ini mencecah sebanyak 2,562,500 tan merangkumi tiga jajahan, iaitu Tanah Merah, Jeli dan Gua Musang.

“KeTSA melalui Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) selaku pihak yang menguruskan prosedur operasi standard (SOP) untuk bahan-bahan mineral di negara ini mendapati Kelantan mempunyai banyak bahan mineral.

“Antaranya adalah bijih besi, bijih mangan, batu kapur, marmar, lempung bebola, pasir laut, batu silika dan feldspar,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Sijil Pengiktirafan Stong Geopark Kebangsaan Kepada Menteri Besar Kelantan di sebuah hotel di sini hari ini.

Takiyuddin memberitahu, lokasi Aring di Gua Musang merupakan lokasi nadir bumi paling berpotensi di negeri ini iaitu 1,250,000 tan di kawasan seluas 1,000 kilometer (km) persegi.

Katanya, rizab di Jeli yang melibatkan lokasi Stong dan Batu Melintang dengan kawasan berpotensi seluas 800 km persegi dan jumlah nadir bumi sebanyak sejuta tan.

“Tanah Merah merangkumi kawasan berpotensi seluas 250 km persegi dengan jumlah nadir bumi sebanyak 312,500 tan.Ini adalah potensi baharu yang cukup penting untuk ekonomi Kelantan dan kita diberitahu bahawa nilai ini dikira berdasarkan harga purata NRREE iaitu USD12 sekilogram.

“Kementerian telah mengadakan SOP untuk pengambilan nadir bumi dengan projek perintis di Kenering di Lenggong, Perak. Awalnya saya berhasrat untuk memuktamadkan SOP itu pada bulan ini tetapi tidak sempat. Kerajaan negeri Kelantan telah dimaklumkan bahawa mereka boleh membuat persiapan seandainya mahu mengeluarkan nadir bumi ini dan kementerian akan memberik kerjasama sebaiknya,” jelasnya.

Sementara itu, Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob berkata, kerajaan negeri akan menunggu SOP daripada KeTSA dan telah mengenal pasti kaedah serta usaha-usaha untuk memanfaatkan kekayaan rizab nadir bumi berkenaan.

“Kita mempunyai Jawatankuasa Mineral Negeri yang dikawal oleh Enakmen Mineral Negeri Kelantan dan dianggotai jabatan-jabatan berkaitan. Kita akan bincang secara lebih terperinci usaha-usaha mengeluarkan dan memanfaatkan sumber mineral di negeri ini.

“Semestinya ia akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat kerana pada satu-satu masa usaha mengeluarkan dan memanfaatkan nadir bumi ini pasti akan memerlukan banyak tenaga dan kepakaran,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.